Halaman

27 June 2011

Indikator kejayaan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Tidak dinafikan antara faktor utama kejayaan Terengganu mengekalkan hatrik kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 kerana berbekalkan pengalaman dan indikator ketika menempa kejayaan pada Sukma terdahulu, masing-masing dalam Sukma 2008 dan Sukma Melaka tahun lalu.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang beraksi selaku tuan rumah meledak dengan pungutan 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa untuk muncul juara buat kali pertama.

Pungutan pingat tertinggi itu terus melonjak nama Terengganu daripada kedudukan terbaik berada di tangga keenam di Sukma Selangor 1998 dan 15 emas sebagai pungutan pingat terbanyak pada Sukma Kedah 2006.

Kesinambungan `Terengganu Nelang’ dan `Terengganu Hanelang’ terus mempertahankan Terengganu selaku kuasa baru sukan negara untuk temasya edisi ke-13 (2010) dengan pungutan 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.
Terbaru, rekod yang masih segar dalam ingatan semua, pastinya kejayaan selaku juara Sukma untuk kali ketiga berturut-turut pada temasya ke-14 yang baru melabuh tirai 12 Jun lalu. Walaupun menjadi antara pasukan yang menghantar atlet paling kecil, Terengganu masih gah mempertahankan kejuaraan dengan meraih 30 pingat emas, lapan pingat perak dan 12 pingat gangsa.

Sebagaimana kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, antara faktor penyumbang kejayaan sukan itu adalah program latihan berstruktur bermula lebih awal iaitu hampir dua setengah tahun ketika persediaan Sukma 2008 berbanding sebelumnya hanya dalam tempoh yang singkat.

Malah, setiap sukan menyediakan pelan perodiasasi latihan masing-masing yang dirangka bersama pakar daripada Majlis Sukan Negara Malaysia dan para akademik universiti.

Peranan jawatankuasa antara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dengan persatuan sukan melalui jawatankuasa kerja juga menyelesaikan banyak masalah berkaitan birokrasi, selain pemantauan berterusan semua pihak terlibat.

Berdasarkan kepada faktor kejayaan pada 2008, kerajaan negeri merangka program penyediaan atlet yang sama dengan menambah baik di mana yang perlu seperti memperkemaskan mekanisme pemantauan latihan dan penekanan kepada kehadiran dalam latihan bagi penyediaan atlet 2010 dan tahun seterusnya.

Kejayaan itu sekaligus membuktikan Terengganu bukanlah jaguh kampung yang hanya mampu menjadi juara di laman sendiri, tetapi juga mampu meraih kejuaraan di negeri orang, malah mengekalkannya buat kali ketiga.

Selain itu, penambahbaikan struktur MSNT dengan penekanan kepada `core-business’ dan `caretaker’, iaitu peranan pegawai perhubungan sukan di setiap jenis sukan, program pemantapan kerohanian yang diadakan dari masa ke semasa termasuk program motivasi serta kem berasingan mahupun berkelompok juga menjadi faktor yang membawa kepada kejayaan itu.

Sokongan padu kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terutama dalam aspek menyediakan dana dan kewangan juga pengaruh utama Terengganu mampu mempertahankan keunggulan dalam persada sukan sejak kebelakangan ini.

Dalam sisi lainnya, skuad bola sepak Terengganu turut mencuri tumpuan apabila menggegarkan arena sukan negara untuk menjulang trofi yang menjadi rebutan ramai, Piala FA buat musim ini.

Walaupun Terengganu seakan berada di ambang kekalahan kerana ketinggalan satu gol dengan Kelantan, namun pemain Terengganu terus berusaha bermati-matian untuk memastikan trofi itu berada dalam genggaman selepas dipisahkan dengan jaringan pada dua saat terakhir sebelum mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kata-kata azimat daripada pengendali skuad Peteh, Irfan Bakti Abu Salim supaya `bermain sehingga wisel penamat’ menjadi pembakar semangat untuk pemain Terengganu, seterusnya membawa skuad hitam putih itu bangkit dengan meledak gol kedua yang mengesahkan Terengganu selaku juara musim ini.

Kejayaan berganda yang tercatat pada minggu yang sama pertengahan Jun 2011, membiaskan satu fenomena luar biasa mengenai kehebatan anak Terengganu dalam kancah sukan dan terbukti darah kepahlawanan Megat Panji Alam, pahlawanan Melayu yang tangkas serta tidak pernah mengaku kalah di medan perjuangan tetap mengalir dalam diri setiap anak negeri.

Syabas Terengganu!