Pertandingan memancing anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tok Molor, Kuala Terengganu bertambah meriah dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, ke tapak program itu, kira-kira jam 4.15 petang tadi.
Sebagai gimik pelancaran pertandingan itu, Menteri Besar turut melempar joran ke sungai berkenaan dan berjaya menaikkan seekor ikan sembilan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.
Seramai 200 peserta menyertai pertandingan `Pesta Ngail Tok Molor’ di sepanjang 500 meter sungai berkenaan yang bermula kira-kira jam 2 petang dan berakhir tiga jam kemudian itu.
Ketua Cawangan yang juga Pengerusi JKKK Tok Molor, Encik Ali Othman, berkata penganjuran program memancing itu sebagai usaha menyatupadukan penduduk sambil menjalankan aktiviti riadah.
“Walaupun hadiah tidak seberapa, kita berjaya menghimpunkan ramai peserta dan aktiviti ini berjaya mencapai matlamat untuk merapatkan hubungan sesama penduduk kampung dalam program yang sihat,” katanya.
Seorang penduduk kampung, Encik Saiful Mazram Abdul Rahman, berkata kehadiran pemimpin utama negeri menambahkan kemeriahan pesta ngail yang julung kali diadakan pada tahun ini itu.
“Kehadiran Menteri Besar walaupun seketika membuktikan beliau pemimpin yang prihatin dan sanggup meluangkan masa walaupun dibebani dengan jadual tugasan yang padat.
“Semua peserta pertandingan juga kelihatan seronok menyertai aktiviti ini. Inilah antara medan yang boleh memupuk budaya mesra dan saling berinteraksi antara satu sama lain,” katanya yang juga Setiausaha Kerja Belia 4B Negeri Terengganu.
Pesta Ngail yang terbuka kepada semua penduduk sekitar tanpa mengira usia itu menawarkan wang tunai RM1,000 kepada pemenang juara, diikuti tempat kedua RM500 dan RM200 (ketiga, selain hadiah sehingga tempat ke-30 dan cabutan bertuah.