Halaman

26 June 2011

Peserta Klinik Cyber buat laporan polis bantah perhimpunan Bersih

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 150 peserta kursus Klinik Cyber yang terdiri daripada pengendali laman sosial, membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang akan diadakan di Kuala Lumpur, pada 9 Julai ini.

Wakil Urusetia Penganjur Klinik Cyber, Encik Ruslan Abdul Rahman, berkata pihaknya membuat laporan itu kerana bimbang perhimpunan tersebut bersifat perkauman dan boleh membangkitkan kemarahan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
Malah, katanya, jika perhimpunan itu diteruskan ia boleh mengakibatkan berlakunya pertempuran yang mungkin membawa kepada kejadian tidak diingini, termasuk kecederaan dan pertumpahan darah.

Encik Ruslan berkata, perhimpunan itu juga jelas mampu mengancam keselamatan negara, menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai serta menjejaskan sektor pelancongan di negara ini.

“Selain mengganggu ketenteraman awam, perhimpunan itu boleh menjejaskan keyakinan para pelabur untuk meneruskan dan mencari peluang menjalankan pelaburan di negara ini, sekaligus memberi impak negatif serta imej yang buruk kepada negara di mata masyarakat luar,”katanya.

Pada masa yang sama, peserta kursus itu turut meminta pihak berkuasa membuat pendakwaan bagi membawa kes video seks yang disabitkan terhadap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengikut undang-undang kesalahan syariah ataupun sivil selepas terbukti dan disahkan beliau adalah pelaku dalam video berkenaan.

“Tindakan itu penting sebagai keadilan dan menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan perbuatan yang sama dan kami percaya hanya pihak mahkamah sahajalah yang boleh membawa keadilan untuk semua termasuk kepada Dato’ Seri Anwar,” katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Kijal, Kemaman, kira-kira jam 6 petang semalam.