Halaman

28 June 2011

Bantuan MyKasih untuk keluarga miskin sekitar UMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan MyKasih dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberi bantuan kepada 178 keluarga kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT), Prof Dr Yahya Ibrahim berkata kesemua keluarga berkenaan merupakan penduduk miskin sekitar kawasan kampus UMT di Gong Badak.

"Keluarga yang dipilih adalah daripada kumpulan berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan, ibu tunggal, golongan yang mempunyai bilangan anak yang melebihi lima orang atau mengalami kecacatan kesihatan. Menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima RM80 sebulan," katanya.

Menurutnya, keluarga terpilih dikenal pasti melalui empat sekolah yang berhampiran dengan UMT iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Gong Badak, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Mengabang Telipot.

Penasihat Yayasan MyKasih, Puan Siti Khairon Shariff, berkata penerima bantuan hanya boleh membeli barangan makanan di Hypermarket Giant dan di Kedai Petronas Mesra dengan menggunakan `ePetro MyKad' sebagai cara untuk membayar barangan itu.

"Bantuan yang kita berikan adalah untuk penerima membeli barangan makanan sahaja dan tidak boleh menggunakan wang tersebut untuk kegunaan lain.
“Pihak kami menerima sumbangan dari syarikat korporat serta orang ramai yang prihatin,” katanya lagi .

Puan Siti Khairon berkata bantuan itu juga akan terus diberikan kepada mereka yang layak pada masa depan dan akan ditarik balik jika terdapat peningkatan dalam pendapatan penerima.