Halaman

30 June 2011

Tiada kompromi jika terlibat Perhimpunan Bersih-MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru rakyat negeri ini terutama kakitangan awam supaya sesekali tidak terlibat dengan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bagi mengelak tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Saya merayu rakyat Terengganu jangan terlibat dengan perhimpunan Bersih ini. Saya juga sudah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (Terengganu) mana-mana kakitangan kerajaan negeri ini yang terlibat dengan perhimpunan haram berkenaan boleh diambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Kerajaan tidak akan berkompromi. Kita ada syarat dan peraturan yang tertakluk di bawah perintah am pentadbiran awam yang perlu sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan sebagai seorang kakitangan kerajaan,” katanya kepada media di majlis hi-tea bersama media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan lebih 20 pengamal media di Terengganu.

Menteri Besar berkata,perhimpunan haram itu boleh mencetuskan suasana huru-hara kerana kegagalan mengawal emosi masing-masing akan mengakibatkan mereka yang terlibat bertindak merosakkan harta benda awam serta mencederakan orang yang tidak berdosa.

“Saya berseru kepada rakyat Malaysia yang mencintai keamanan kerana dengan berkat keamanan yang kita nikmati kini, kita seharusnya menjauhi perhimpunan haram yang hanya semata-mata untuk menguji kesabaran kerajaan dan menguji peraturan sedia ada.

“Usaha yang didalangi parti pembangkang mengandungi muslihat dan kehendak tertentu untuk mempopularkan diri mereka dan mungkin juga ada pengaruh negara asing atau `orang luar’ yang ingin mengambil kesempatan daripada apa yang berlaku di negara kita ini,” kata beliau lagi.