Halaman

26 June 2011

Persatuan sukan bergerak seiring dengan kerajaan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri tidak menghadapi sebarang masalah besar dengan persatuan sukan yang terdapat di negeri ini terutama yang bertanggungjawab menyediakan atlet bagi berdepan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Ke-14 tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan persatuan sukan khususnya dalam menyediakan atlet yang berkualiti dan terbaik untuk kejohanan Sukma mahu pun kejohanan lain dalam serta luar negara.

Malah, sehingga kini, setiap persatuan sukan bergerak seiring dengan dasar kerajaan negeri bagi memastikan matlamat dan misi bidang itu mampu direalisasikan.

“Bagaimanapun, hanya segelintir persatuan sukan yang memerlukan kepada perbincangan lebih rapi untuk memberi tumpuan dan memantapkan persiapan secara dalaman.

“Kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bertindak sebagai penggerak serta penyokong dari belakang, selain mengenal pasti permasalahan yang dihadapi persatuan sukan terutama yang bakal menyertai Sukma akan datang,” katanya kepada media, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, YB Haji Rozi juga tidak menolak sistem pengurusan yang baik dan mantap di kalangan persatuan sukan dalam negeri turut mempengaruhi kejayaan Terengganu dalam bidang itu, sekaligus muncul sebagai kuasa baru sukan negara sejak beberapa tahun lalu.

Sebagai mengulas persiapan Sukma di Pahang tahun depan, pihaknya bersama pengurusan sukan dan MSNT sedang mengenal pasti usia atlet sama ada melepasi tahap usia dibenarkan bagi menyertai temasya itu.

“Ada perubahan dalam penyertaan Sukma khususnya aspek umur atlet yang melepasi usia 21 tahun perlu dilihat semula . Selain itu, kita juga perlu mengenal pasti serta menambah atlet berbakat dari sekarang bagi menggantikan atlet sedia ada terutama yang melepasi had umur itu. Setakat ini, tiada masalah bagi menyelesaikan perkara itu,” katanya lagi.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 58 pingat emas menerusi 24 acara sukan yang bakal disertai yang menawarkan lebih 100 pingat emas.

Sehingga kini, Sukma Ke-14 Pahang 2012 dijangka mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy, manakala lima sukan pilihan pula adalah tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian.