Halaman

27 June 2011

Nurussyamahah layak ke peringkat akhir Tilawah Antarabangsa Kanak-kanak di Qatar

Oleh; Esah Abdullah

Pelajar Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Nurusssyahamah Taqiah Nurunnajmi terpilih antara tiga peserta ke peringkat akhir Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar yang akan berlangsung Ramadan ini.

Bapanya Nurunnajmi Yaacob, 40, berkata anaknya merupakan wakil tunggal Malaysia yang melepasi ujian pemilihan peringkat awal yang berlangsung di Qatar pada 22 Jun lalu yang disertai 63 kanak-kanak dari seluruh dunia.

“Dengan kejayaan ini saya dan Nurussyamahah sekali lagi akan ke negara berkenaan pada Ramadan nanti bagi menyertai peringkat akhir,” kata guru Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut.

Pertandingan berkenaan adalah anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak Stesen Televisyen, Al-Jazeera di mana pemilihan Nurussyahamah merupakan satu kejayaan bagi negeri ini selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini melibatkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, dan 49 daripadanya dari Malaysia.

Katanya, sebelum berjaya ke Doha, anaknya menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara dan terpilih antara tiga yang berjaya melepasi ujian berkenaan dan pada April sekali lagi menjalani ujian serta dipilih mewakili negara bersama 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.

Nurussyahamah sebelum ini pernah menjadi johan membaca Al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada tahun 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.

“Sebagai persediaan ke peringkat akhir nanti, Nurunnajmi akan dibawa ibunya Sauzan Ibrahim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, untuk berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan,” katanya.