Kerajaan negeri sedia menerima kritikan daripada golongan wartawan asalkan ia berupa kritikan membina dan ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat tempatan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata atas kepentingan rakyat, kerajaan sedia bertindak berdasarkan teguran pihak media dan membaiki segala kelemahan dalam sistem pentadbirannya.
“Bagaimanapun, pada masa yang sama kita mahu pihak media menyemak terlebih dahulu fakta dan kesahihan sesuatu berita sebelum menyiarkannya,” katanya sewaktu berucap pada majlis ramah mesra YAB Menteri Besar dengan media di Permai Inn, petang ini.
Program anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) itu turut dihadiri Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalannya Ruslan Abd Rahman; Penyelidik Kanan, Hambali Abd Latiff dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria.
Menteri Besar berkata, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh wartawan seakan sama dengan pemimpin kerajaan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Wartawan menyiarkan kesusahan rakyat supaya pihak berkenaan membela nasib mereka manakala wakil rakyat menyediakan kemudahan dan keperluan rakyat,” ujar beliau.
Beliau berharap para wartawan dapat bekerjasama dengan kerajaan dan berganding bahu membela nasib rakyat di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri sudah terlalu banyak menyediakan subsidi dan kemudahan kepada rakyat Terengganu.
Katanya, sebahagian besar daripada penerima bantuan am di negeri ini sepatutnya tidak layak diberi kemudahan itu jika mereka tinggal di negeri lain.
“Tetapi Kerajaan Terengganu terlalu baik hati dengan menyediakan macam-macam kemudahan untuk rakyat, asalkan mereka tidak susah,” katanya.