Halaman

02 July 2011

SMK Kijal perkenal m-Attendance atasi ponteng sekolah

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Kijal, Kemaman dipilih untuk melaksanakan projek perintis m-Attendance yang merupakan satu sistem bagi mengurus kehadiran pelajar bagi mengurangkan masalah ponteng sekolah.

Sistem aplikasi berkenaan yang pertama kali digunakan di negara ini, menggunakan platform komputer tablet iPad yang dapat mengurus kehadiran pelajar dengan cepat, cekap dan lebih sistematik.

Sistem berkenaan dibangunkan oleh Moblie Biz Network Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebanyak 41 buah iPad disumbangkan oleh Apple Malaysia untuk digunakan oleh guru sekolah tersebut bagi menjayakan sisitem aplikasi m-Attendance.



Beliau berkata, melalui sistem berkenaan ibu bapa akan menerima mesej melalui Maklumat Pesanan Ringkas (SMS) dan e-mail pada setiap hari jika anak-anak mereka tidak datang ke sekolah.

“Ibu bapa akan mendapat maklumat dengan cepat jika anak mereka tidak ke sekolah. Jika mereka ada alasan tertentu mengenai perkara itu, mereka boleh memaklumkan segera kepada pihak sekolah,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Penyerahan i-Pad kepada guru-guru sekolah berkenaan hari ini.

Menteri Besar berkata, projek berkenaan akan dipantau dalam tempoh tiga bulan dan jika ia memberi kesan yang positif ia akan diperluaskan ke sekolah lain di seluruh negeri.