Halaman

29 June 2011

70 pelajar ikuti pengajian di Rusia

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 70 orang pelajar negeri ini terpilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di dua universiti di Rusia yang dijadual bertolak pada September depan.

Ketua Penolong Pengarah Tajaan Yayasan Terengganu, Encik Mohd Razali Mahmud berkata, pelajar terbabit kini sedang mengikuti kursus persediaan di Tati Universiti College (TATiUC) Kemaman, selama empat bulan.

“Di TATiUC pelajar terbabit mengikuti kursus Bahasa Inggeris, Matematik, Kimia, Bio, Basic Atonomi dan Bahasa Rusia,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, tahun ini kerajaan memutuskan untuk menghantar pelajar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di dua universiti di negara berkenaan iaitu Moscow State Medical Universiti (MSMU) seramai 50 orang dan Volgograd State Medical Universiti (USMU), 20 orang.

Menurut Encik Mohd Razali, setiap pelajar akan menerima tajaan berjumlah RM300,000 seorang untuk tempoh enam tahun pengajian di MSMU manakala RM280,000 seorang di USMU.

Namun begitu katanya, jumlah sebenar mereka yang akan dihantar ke universiti berkenaan tertakluk kepada peperiksaan akhir mereka di TATiUC nanti.