“Tidak ada istilah undi pos, kerana apa yang dilaksanakan sekarang adalah buang undi terlebih awal sedikit dari tarikh pengundian sebenar,” kata Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ini dilakukan bagi mengelak tuduhan, pihak tentera dan polis serta pasukan yang berunifrom mengundi secara tidak bersih.
Perkara berkenaan katanya, telah bermula awal tahun lepas, ketika pilihan raya kecil di Negeri Sembilan membabitkan Tan Sri Isa Samad.
Menurut Dato’ Seri Ahmad Zahid pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memutuskan untuk mengubah sistem undi pos kepada undi tidak pos tetapi diadakan tiga empat hari lebih awal pada hari pengundian sebenar.
“Dalam pengundian awal ini, pengundi disaksikan oleh Pegawai SPR dan wakil daripada semua parti politik yang bertanding,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Peranan Ngo’s Dalam Menghadapi Isu-isu Semasa dan Membentuk Masa Depan Negara di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen (AP) Kulim, Kedah, Dato’ Zulkifli Nordin; AP Padang Serai, Pulau Pinang, N. Gobalakrishnan dan Pengerusi Biro Pengundi Luar dan Ngo’s, Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Senator Datuk Haji Abdul Rahman Bakar.
Katanya, ketika pengundian berjalan tidak ada Pegawai Pemerintah di tempat berkenaan, ia adalah hak individu sama ada pegawai, anggota atau pun ahli keluarga mereka.
“Saya beri jaminan, tidak ada campur tangan pegawai atasan dalam angkatan tentera ketika pembuangan undi dijalankan dan setiap anggotanya diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih siapa yang mereka suka,” katanya.