Halaman

02 July 2011

Pangsapuri 30 tingkat akan dibina di Ladang Tok Pelam

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri akan membina sebuah lagi pangsasuri setinggi 30 tingkat membabitkan kawasan 15 hektar di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu bagi menempatkan sebahagian lagi penduduk yang belum memiliki kediaman.

Pangsapuri yang sedang dalam perancangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan dilengkapi lot perkedaian dan kemudahan tempat letak kereta bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat.

Setakat ini dua pangsasuri iaitu Ladang Gemilang Satu dan Ladang Gemilang Dua sudah didiami 170 penghuni manakala sebuah lagi pangsapuri serupa yang mengandungi 88 unit masih dalam pembinaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sememangnya prihatin dengan nasib penduduk di kawasan ini kerana mengetahui mereka kurang berkemampuan untuk membina rumah sendiri apatah lagi membabitkan kawasan bandar.



“Oleh itu, pelbagai keistimewaan disediakan kerajaan negeri termasuk memberi subsidi 50 peratus bagi setiap unit rumah berharga RM150,000. Pendekatan ini dilaksanakan bagi mengelak penduduk dibebani masalah kadar sewa yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Perjumpaan Bersama Penghuni Pangsapuri Ladang Gemilang, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan Dewan Undang Negeri (PPDUN), Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, berdasarkan prosedur biasa, iaitu bagi tempoh tiga tahun pertama, setiap penghuni perlu membayar sewa antara RM126 sehingga RM300 sebulan bergantung kepada kemampuan.



“Sekiranya tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan dalam tempoh itu, kerajaan negeri bersetuju menjual unit rumah itu secara sewa beli.

“Kerajaan negei mengambil balik tanah Orang Melayu di kawasan itu bagi memastikan mereka masih boleh di kawasan bandar dan tidak terpinggir dari arus pembangunan perdana,” katanya.