Halaman

01 August 2011

Peruntukan RM2 juta setahun bantu pesakit tidak berkemampuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM2 juta setahun menerusi skim kebajikan sosial perubatan bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membiayai rawatan.

Sebanyak 82 peratus sudah dibelanjakan dengan 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada keseluruhan RM10 juta yang disediakan sepanjang empat tahun bermula 2007 lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata antara peralatan yang disediakan bagi manfaat pesakit termasuk kaki palsu, mesin oksigen, implant, lampin pakai buang, bekalan susu khas yang melibatkan jumlah perbelanjaan RM8.6 juta.

“Kerajaan prihatin dan menyediakan peruntukan yang besar menerusi Tabung Dana Khas serta menyalurkannya kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi memastikan rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia.

“Kita juga banyak berbelanja bagi membiayai rawatan pesakit kronik dan penyakit tertentu yang bukan terhad kepada kebajikan sosial perubatan sahaja, seperti membangunkan Perkhidmatan Perubatan Reproduktif (Program Bayi Tabung Uji),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah berjaya melahirkan dua bayi masing-masing,lelaki dan perempuan serentak pada tarikh ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-53 pada 31 Ogos 2010 yang lalu.

Kelahiran dua bayi tersebut mencatat sejarah apabila menjadi bayi tabung uji pertama dan kedua di Terengganu hasil daripada dua prosedur utama iaitu In-Vitro Fertilization (IVF) dan Intra-Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) yang dimulakan pada 22 November 2009 lalu.

Sehingga Disember 2010, seramai lima ibu telah berjaya melahirkan bayi tabung uji (IVF – ICSI) dengan seorang daripada mereka melahirkan bayi kembar.

Selain itu, beliau berkata peralatan perubatan lain adalah pembelian Mesin Tomografi Berkomputer MultiSlice (MSCT) berharga RM2 juta.

“Mesin ini mampu menghasilkan 64 imej pada setiap imbasan dan ia dapat ditingkatkan keupayaannya sehingga 128 imej.

“Selain itu, mesin ini juga mempunyai banyak kelebihan berbanding mesin CT scan biasa terutama bagi imejan dan isotropik bagi tujuan rekonstruksi multiplana (MPR) yang dapat mengesan sebarang penyakit dengan lebih terperinci di samping berupaya melakukan pemeriksaan CT Kardiak, CT Colonografi, CT Angiografi, imej 3D dan Fluoroscopi semasa kes-kes intervensi radiologi,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Terengganu melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu juga memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian dikenali sebagai Pusat Perubatan iHeal bertempat di Midvalley, Kuala Lumpur dengan menguasai 60% kepentingan sahamnya.

Manakala pelaburan sebanyak RM27 juta untuk membeli Strawberry Park Kijal melalui Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu bagi membina Institut Jantung Negeri Terengganu.

Terbaru, kerajaan negeri akan membiayai kos bagi menaik taraf makmal dadah Jabatan Patologi HSNZ untuk menyediakan Perkhidmatan Ujian Pengesanan ’Amphetamine Type Simulant’ (ATS) dengan perbelanjaan pengubahsuaian makmal dan pembelian peralatan kira-kira RM1.5 juta.




Terengganu pertaruh 15 perenang hadapi cabaran antara kelab Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman



Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) berhasrat menyertai kembali Kejohanan Renang Antara Kelab-Kelab Malaysia bagi merebut Piala Presiden di Shah Alam, Selangor, Disember ini.

Setiausahanya, Yan Kong Lee berkata bagi memenuhi hasrat itu, pihaknya telah menyenaraikan seramai 15 perenang lelaki dan wanita sebagai persiapan awal bagi berdepan kejohanan yang bakal berlangsung kira-kira lima bulan lagi itu.
"Terengganu berhasrat menyertai kejohanan renang antara kelab-kelab Malaysia tahun ini selepas agak lama menyepikan diri kerana kemudahan kolam renang rosak dan tidak boleh digunakan tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tujuan PRAT menyertai kejohanan itu bukankan untuk mencari kemenangan atau kejayaan, tetapi hanya sekadar untuk menguji prestasi dan pencapaian perenang Terengganu sebelum bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) di Kuantan, Pahang 2012.

Selain itu, katanya bekas jurulatih kebangsaan Foo Yock Meng akan membimbang skuad negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Yan berkata PRAT akan menganjurkan Kejohanan Renang Novis Terengganu untuk peserta berumur bawah 9,11,13 dan 15 tahun pada Oktober ini.

“Kejohanan ini juga bagi memberi pendedahan kepada corak pertandingan kepada peserta yang baru hendak belajar berenang dan dijangka hampir 100 peserta bakal menyertai kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan itu adalah antara beberapa aktiviti PRAT dalam usaha untuk mengasah bakat serta mengembangkan sukan renang di kalangan remaja di Terengganu.

Kejayaan Nurussyahamah banggakan rakyat Terengganu

Oleh: Suriati Ali




Kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang berjaya mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, akhir Ramadan ini, membanggakan semua pihak terutama ibu bapa kanak-kanak itu.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, al-Jazeera adalah kali kedua diadakan di mana tahun lalu peserta Maghribi memenangi pertandingan itu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Besut itu sudah lama bersedia untuk membawa nama Terengganu dan Malaysia di pertandingan yang melibatkan dua lagi peserta lain iaitu Yaman dan Maghribi.

Walaupun sibuk mengulangi pelajaran untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal tiba tidak lama lagi, Nurussyahamah bijak mengagihkan masa antara belajar dan latihan mengaji hasil bantuan serta tunjuk ajar bapa, Nurunnajmi Yaacob, 40, dan ibu Sauzan Ibrahim, 39.

Nurunnajmi membuat persediaan lebih awal dengan mendengar sendiri setiap bacaan al-Quran berserta tarannum, tajwid dan kelantangan suara Nurussyahamah supaya tidak menghadapi masalah ketika tiba di pertandingan besar itu nanti.

Katanya, setiap kali mempunyai kelapangan masa terutama sebelum atau selepas solat Maghrib, dia akan meluangkan masa membetulkan bacaan Nurussyahamah yang masih lemah.

Beliau tidak lupa juga membawa anaknya berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan dalam tempoh tiga atau empat bulan sekali.

“Soal pemakanan turut dipantau dengan melarang anak mengambil makanan yang tidak berkhasiat terutama makanan ringan dan makanan segera bertujuan mengelak anak terlupa setiap bacaan yang difahami.

“Untuk menjaga suara pula, saya dan isteri tidak mengalakkan anak mengambil minuman sejuk, air bergas dan buah tembikai setiap kali menjelang hari pertandingan, ” katanya kepada Teganukita .

Nurussyahamah mula menunjukkan minat mengaji sejak berusia tiga tahun lagi di mana begitu cepat mengingati kaedah qiraati yang diajar bapanya.

Lebih membanggakan, Nurussyahamah mula lancar menggunakan kaedah itu ketika berusia enam tahun di mana mampu menghabiskan dua hingga tiga helaian al-Quran setiap kali membacanya.

Nurunnajmi yang juga seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut berkata, dia yakin anaknya mampu buat yang terbaik di hari pertandingan itu kerana sebelum ini banyak pendedahan dan jemputan mengaji dari pelbagai agensi kerajaan dan sekolah dapat disertai dengan sempurna.

Sebelum ini, Nurussyahamah berjaya melepasi pemilihan peringkat awal yang berlangsung di Doha, Qatar pada 22 Jun lalu yang turut disertai 63 kanak-kanak dari seluruh dunia.

Pemilihan Nurussyahamah adalah satu kejayaan besar selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan kerajaan Qatar yang membabitkan 2,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, 49 daripadanya dari Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.


Mahkamah Syariah guna e-filing

Oleh: Esah Abdullah


YB Haji Khazan Che Mat dan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Haji Ismail Yahya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Sambutan Bulan Ramadan Al-Mubarak 1432 Hijrah, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Mahkamah Syariah Terengganu bergerak selangkah ke hadapan dengan mengaplikasikan sistem e-filing dalam usaha ke arah penjimatan fail bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap dan berkesan.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Haji Ismail Yahya berkata, pihaknya juga turut menyediakan sistem back-up dan mengarahkan semua mahkamah mengguna pakai e-filing.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Dana Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Sambutan Bulan Ramadan Al-Mubarak 1432 Hijrah, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Pada program berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat telah menyampaikan dana kepada 21 keluarga terpilih dari seluruh negeri.

Katanya, kajian akan terus dilakukan bagi mengesan kelemahan sistem tersebut bagi melancarkan penggunaannya sebelum e-filing diaplikasi sepenuhnya yang dijangka dilancarkan Januari tahun depan.

Menurut Dato’ Haji Ismail dalam Konvensyen Mahkamah Syariah baru-baru ini, Mahkamah Syariah Marang diumum tempat pertama Amanat Peringkat Cemerlang dan memperoleh Sijil Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

“Segala arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dapat dicapai oleh Mahkamah Syariah Marang,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut mengaplikasikan sistem e–Syariah dan mempertingkat lagi dengan menggantikan nota bicara melalui tulisan tangan kepada nota bicara melalui penggunaan komputer.





31 July 2011

Cadang beri kelulusan kepada Perwaja

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri bersedia menimbang untuk memberi kelulusan kepada Perwaja Holdings Berhad (Perwaja) bagi kerja-kerja melombong bijih Besi di Bukit Besi untuk kegunaan syarikat itu yang kini dalam proses membina sebuah Loji ‘Concentration’ dan Pelletizing’ sendiri yang pertama di Asia Tenggara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pada dasar dan prinsipnya kerajaan negeri telah bersetuju menimbang untuk bekerjasama bersama Perwaja bagi kerja-kerja mengeluarkan bijih besi itu di sebahagian kawasan di Bukit Besi selain terdapat juga beberapa syarikat lain yang akan dipertimbangkan.

“Kawasan yang telah dikenalpasti di Bukit Besi ini membabitkan kawasan seluas 97,124 hektar dan kerja-kerja pengukuran kawasan telah kita serahkan kepada juruukur berlesen.

“Mengikut kajian yang dilakukan pada 1921 terdapat kira-kira 100 juta metrik tan bijih besi di kawasan itu (Bukit Besi) dan selepas kerja-kerja melombong bijih besi oleh sebuah syarikat British, sehingga 1971 masih terdapat kira-kira 50 juta tan metrik lagi bijih besi bermutu tinggi di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan upacara pecah tanah Loji ‘Concentration’ and ‘Pelletizing’ Perwaja bersebelahan Perwaja Steel di kawasan perindustrian Telok Kalong di semalam (30 Julai).

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Perwaja, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, Pengarah Urusan Perwaja, Tan Sri Pheng Yin Huah dan Pengurus Besar Sinosteel Equipment & Engineering, Liu Andong.



Mengulas lanjut, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, di peringkat negeri, pihaknya membuat keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat yang sudah mempunyai kilang di negeri ini dan secara kebetulan Perwaja sendiri sudah mempunyai kemudahan sendiri bagi kerja mengeluar dan memproses bijih besi.

“Selain di Bukit Besi, di Kemaman kita kenal pasti terdapat kira-kira 25 juta metrik tan lagi bijih besi tapi kualitinya adalah normal (tidak seperti di Bukit Besi).



Perairan Terengganu sesuai untuk pembiakan gamat

Oleh; Esah Abdullah

Kawasan peraian Terengganu sesuai untuk pembiakan gamat, itu keputusan kajian yang dilakukan selama tiga tahun oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Encik Zakaria Ismail berkata, sebelum ini gamat atau keluarga timun laut ‘stichopodidea’ ini banyak terdapat di Pulau Langkawi.

Sehubungan itu katanya, USM telah menghasilkan tukun inovasi penstabilan fosil untuk tujuan pembiakan dan sebagai permulaan 15 unit tukun berkenaan telah diturunkan di perairan Teluk Rotan, di Pulau Redang.

Katanya, Pulau Redang dipilih sebagai tempat pembiakan gamat sebelum ia dipatenkan dan dikomersialkan sebagai satu komponen kultur marin.

“Tukun inovasi yang direka khas dan unik itu khusus kepada spesis gamat yang mana dindingnya difabrikasi dengan campuran bahan fosil termasuk cengkeram laut, pasir laut dan batu karang dengan konkrit,” katanya.

Encik Zakaria melahirkan keyakinan tukun seberat satu tan itu mampu menarik spesis gamat dan mampu membiak dengan baik sekali gus dapat dikomersialkan oleh pengusaha di negeri ini.

Menurutnya, gamat bukan hanya mempunyai nilai komersial yang menguntungkan tetapi nilai perubatan yang telah diguna pakai sejak turun temurun secara tradisional sehingga kepada penerapan teknik bioteknologi.

“Terdapat 40 spesis gamat hidup di perairan negara setakat ini dan dua spesis yang popular ialah gamat emas dan gamat sawa,” katanya.

InsyaAllah katanya, negeri ini dijangka akan menjadi pengeluar gamat tidak lama lagi apabila kerjasama yang terjalin antara Jabatan Perikanan dan USM ini bejalan lancar.





Perwaja labur RM400 juta

Oleh: Suriati Ali



Perwaja Holdings Berhad (Perwaja)melabur sebanyak RM400 juta bagi membina Loji ‘Consentration’ dan ‘Pelletizing’ yang pertama di negara ini dan di Asia Tenggara itu yang mampu mengeluarkan sebanyak 1.2 juta tan metrik besi pilet bagi fasa pertama tahun depan dan 2.4 juta tan metrik bagi fasa kedua pada tahun 2013.

Pengerusi Eksekutif Perwaja, Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkata, loji ini juga akan menyediakan sebanyak 3,000 peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Ia dijangka siap pada Ogos atau September tahun depan.

“Dengan adanya Loji ‘Concentration’ dan Pelletizing’ kami sendiri, Perwaja yakin akan mencapai penjimatan kos pengeluaran sebanyak lebih 15 peratus,” katanya.

Kata beliau, sebelum ini Perwaja mengimport bijih besi daripada beberapa negara luar seperti Brazil, Sweeden dan lain-lain bagi kegunaan kilangnya.



“Jadi dengan persetujuan kerajaan negeri untuk membenarkan Perwaja mengeluarkan biji besi di negeri itu, ia dapat menjimatkan kos operasi syarikat kami.

“Dengan persetujuan Kerajaan negeri, kami akan menggunakan sepenuhnya bijih besi dari Terengganu untuk operasi loji baru kita di Kemaman ini,” katanya.


Radio dan televisyen umum tarikh puasa malam ini

Oleh: Suriati Ali

Tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia bermula petang ini (Ahad), 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, tempat melihat anak bulan bagi Terengganu adalah di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Kemuning, Kemaman dan Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia melalui radio dan televisyen pada malam ini.


Lebih 2,000 pelajar akan diberi wang tunai RM1,000 seorang

Oleh Kamarudin Mat Akib


YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said menyampaikan insentif kepada pelajar di majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Ke-32 Tahun 2011 Bagi Parlimen Kemaman, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman.

Lebih 2,000 pelajar Tingkatan Enam Atas di seluruh negeri akan diberi wang insentif RM1,000 seorang bagi membolehkan mereka membeli buku-buku rujukan, sebagai usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pelajar berkenaan akan diberi insentif tersebut pada satu majlis yang akan dirancang kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu pada bulan Ramadan ini.

“Saya sendiri akan bertemu dengan mereka (pelajar) berkenaan dan memberi nasihat agar mereka menggunakan masa yang ada ini untuk belajar bersungguh-sungguh dan lulus dengan cemerlang,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kali Ke-32 Tahun 2011 Bagi Parlimen Kemaman, di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.



Pemberian skim insentif tersebut dimulakan sejak tiga tahun lalu dan hasilnya Terengganu muncul negeri terbaik bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi seluruh negara selama tiga tahun berturut-turut.

“Kita harap bagi peperiksaan STPM pada tahun ini Terengganu akan mengekalkan rekod yang cemerlang ini,” ujarnya.



Sementara itu, pada majlis Bantuan Dana Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, beliau meminta para remaja supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan menceburi bidang binaan dan perladangan.

Beliau berkata, mereka tidak sepatutnya membiarkan bidang tersebut dimonopoli warga asing dari Indonesia dan Bangladesh saja, kerana ia boleh memberi pendapatan lumayan.

Bank Islam laksana aktiviti korporat

Oleh; Esah Abdullah

Menyedari tanggung jawab membantu komuniti di samping melaksanakan aktiviti korporat, Bank Islam Malaysia (Bank Islam) telah menyumbang sebanyak 80 naskah al-Quran kepada Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) Cawangan Terengganu.

Ketua Wilayah Timur Bank Islam, Puan Wan Rosita Wan Muhamed berkata, bantuan dalam bentuk wakaf al-Quran merupakan inisiatif penting membantu masyarakat menjalani kehidupan seimbang antara dunia dan akhirat.

“Melalui program ini, al-Quran yang di wakaf akan disumbangkan kepada pihak tertentu seperti masjid, surau, badan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi Islam yang memerlukan,” katanya.

Katanya, program ini juga terbuka kepada pemegang Kad Bank Islam dengan memberi peluang mereka membuat amal jariah.

“Dengan sumbangan yang diberikan, diharap mampu menjadi pemangkin terutama kepada penuntut untuk terus menguasai ilmu kerna ia penting untuk mengukuhkan keimanan demi kemajuan umat Islam,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk masyarakat sekeliling dalam menjayakan program amal berkenaan.