Halaman

01 August 2011

Kejayaan Nurussyahamah banggakan rakyat Terengganu

Oleh: Suriati Ali




Kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang berjaya mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, akhir Ramadan ini, membanggakan semua pihak terutama ibu bapa kanak-kanak itu.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, al-Jazeera adalah kali kedua diadakan di mana tahun lalu peserta Maghribi memenangi pertandingan itu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Besut itu sudah lama bersedia untuk membawa nama Terengganu dan Malaysia di pertandingan yang melibatkan dua lagi peserta lain iaitu Yaman dan Maghribi.

Walaupun sibuk mengulangi pelajaran untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal tiba tidak lama lagi, Nurussyahamah bijak mengagihkan masa antara belajar dan latihan mengaji hasil bantuan serta tunjuk ajar bapa, Nurunnajmi Yaacob, 40, dan ibu Sauzan Ibrahim, 39.

Nurunnajmi membuat persediaan lebih awal dengan mendengar sendiri setiap bacaan al-Quran berserta tarannum, tajwid dan kelantangan suara Nurussyahamah supaya tidak menghadapi masalah ketika tiba di pertandingan besar itu nanti.

Katanya, setiap kali mempunyai kelapangan masa terutama sebelum atau selepas solat Maghrib, dia akan meluangkan masa membetulkan bacaan Nurussyahamah yang masih lemah.

Beliau tidak lupa juga membawa anaknya berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan dalam tempoh tiga atau empat bulan sekali.

“Soal pemakanan turut dipantau dengan melarang anak mengambil makanan yang tidak berkhasiat terutama makanan ringan dan makanan segera bertujuan mengelak anak terlupa setiap bacaan yang difahami.

“Untuk menjaga suara pula, saya dan isteri tidak mengalakkan anak mengambil minuman sejuk, air bergas dan buah tembikai setiap kali menjelang hari pertandingan, ” katanya kepada Teganukita .

Nurussyahamah mula menunjukkan minat mengaji sejak berusia tiga tahun lagi di mana begitu cepat mengingati kaedah qiraati yang diajar bapanya.

Lebih membanggakan, Nurussyahamah mula lancar menggunakan kaedah itu ketika berusia enam tahun di mana mampu menghabiskan dua hingga tiga helaian al-Quran setiap kali membacanya.

Nurunnajmi yang juga seorang guru Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut berkata, dia yakin anaknya mampu buat yang terbaik di hari pertandingan itu kerana sebelum ini banyak pendedahan dan jemputan mengaji dari pelbagai agensi kerajaan dan sekolah dapat disertai dengan sempurna.

Sebelum ini, Nurussyahamah berjaya melepasi pemilihan peringkat awal yang berlangsung di Doha, Qatar pada 22 Jun lalu yang turut disertai 63 kanak-kanak dari seluruh dunia.

Pemilihan Nurussyahamah adalah satu kejayaan besar selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan kerajaan Qatar yang membabitkan 2,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, 49 daripadanya dari Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi johan membaca al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.