YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, peruntukan lebih RM35,000 itu bertujuan membolehkan masjid dan surau di DUN itu menjalankan aktiviti pengisian ilmu dan keceriaan semasa bulan Ramadan.
Sebanyak 16 masjid dan 45 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima sumbangan antara RM300 hingga RM1,000 sebagai bantuan untuk pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, peruntukan lebih RM35,000 itu bertujuan membolehkan masjid dan surau di DUN itu menjalankan aktiviti pengisian ilmu dan keceriaan semasa bulan Ramadan.
Menurutnya, selain untuk mengukuhkan tabung masjid dan surau berkenaan, ia juga bertujuan membantu pentadbiran institusi itu mengadakan program penghayatan Ramadan bagi ahli kariah masing-masing.
"Dengan adanya peruntukan tambahan itu, program-program yang telah dirancang ini akan memberi peluang kepada ahli kariah menyemarakkan sambutan Ramadan dengan pelbagai program ilmu yang bermanafaat," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian dalam majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Tok Jiring, dekat sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd. Rozali Salleh.
Dalam ucapannya di majlis yang dihadiri hampir 1,000 tetamu dan penduduk setempat itu, Muhammad Ramli mengajak umat Islam menjadikan ibadat puasa sebagai kaedah terbaik untuk membentuk keperibadian.
Jelas beliau, kualiti keperibadian seseorang Islam hanya boleh dibentuk jika individu tersebut memiliki sifat tawaduk, berhemah, pemurah, sederhana, berilmu dan cintakan perpaduan.
"Jika kualiti diri kukuh dan mantap, maka aspek luarannya akan bersifat mulia sekali gus menjadikan umat Islam disegani dan dihormati," katanya.