Kerajaan negeri dan pusat sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negeri ini - YB Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin
UMNO Bahagian Besut mengambil langkah serius dalam usaha memperkasakan kedudukan peti undi di kawasan parlimen berkenaan bagi mempastikan pengundi tetap setia dan sentinsa menyokong kerajaan.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Bendahari Umno Bahagian itu, berkata pihaknya melancarkan pelbagai program dengan menggerakkan semua jentera supaya mendekati pengundi pada setiap masa.
Katanya, selain mendampingi rakyat pemimpin kerajaan dan parti juga turun padang bagi menerangkan dasar kerajaan negeri dan pusat yang sedang dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Malah,katanya, sepanjang bulan Ramadan juga aktiviti berasaskan keagamaan dipertingkatkan ke peingkat peti undi di seluruh parlimen berkenaan.
“Usaha seperti ini bukan kerana ura-ura pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat sebaliknya program sosial dan keagamaan dilakukan sepanjang masa,” katanya pada majlis penyampaian zakat kepada golongan miskin.
Pada majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Luas, dekat Jertih, pagi tadi, seramai 20 penerima zakat dari Peti Undi Padang Luas yang mewakili tujuh cawangan diberi penghormatan menerima zakat.
Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri dan pusat sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negeri ini dan pelbagai bantuan diadakan sepanjang tahun.
“Rakyat negeri ini amat beruntung dengan adanya pelbagai bantuan dan sumbangan yang diberikan terutama pada bulan Ramadan yang memberi limpahan rezeki kepada umat Islam,” katanya.