Halaman

04 August 2011

Seramai 242 pesakit nikmati bantuan Tabung Penyakit Kronik

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 242 pesakit seluruh Terengganu yang menghidap pelbagai penyakit kritikal dan memerlukan perhatian segera berjaya mendapatkan bantuan menerusi Tabung Penyakit Kronik sehingga Julai lalu.

Jumlah itu merupakan hampir sebahagian daripada keseluruhan 547 pesakit yang mengemukakan permohonan sejak bantuan itu diperkenalkan Kerajaan Terengganu tahun lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata berdasarkan rekod, 274 permohonanan sedang dalam proses, manakala hanya 21 gagal dan sembilan lagi terpaksa ditangguhkan disebabkan pelbagai masalah sistem dan kesilapan teknikal.

“Daripada 547 permohonanan, 128 pemohon daripada Kemaman, diikuti Kuala Terengganu (98, Marang (85), Dungun (58) Kuala Nerus (46), Hulu Terengganu (34), Setiu (31) dan Besut 14 pemohon. Manakala 53 kes atau pemohon yang selebihnya pula berdepan dengan masalah sistem menyebabkan status parlimen pemohonan gagal dikenalpasti.

“Bagaimanapun, jumlah permohonan yang berjaya akan bertambah berikutan lebih 200 permohonan sedang diproses dan hanya kes terpencil menyebabkan permohonan gagal diterima. Ia mungkin berpunca daripada pemohon gagal menepati syarat tertentu dalam borang permohonan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, Tabung penyakit Kronik diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan akibat kekangan kewangan.

Malah, katanya peruntukan diterima menerusi tabung itu sejak September tahun lalu berjumlah RM2 juta dan kira-kira RM360 ribu sudah dibelanjakan sehingga Februari lalu.

Dalam tempoh yang sama juga, antara penyakit yang sudah dibantu seperti pesakit jantung (71 kes), buah pinggang (57 kes), kanser (36 kes) dan lain-lain kes termasuk bantuan peralatan dan sokongan melibatkan 56 kes.

“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri. Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai,” katanya.