Halaman

04 August 2011

Khairina dapat sambung belajar di LSE

Oleh: Suriati Ali


YAB MB berbual mesra dengan dua pelajar cemerlang SPM 2008, Lau Jia Cheng dan Khairina Abdullah. -Foto: SHUHAIMI AHMAD.

Pelajar cemerlang yang memperoleh 14 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Khairina Abdullah, 19, kini ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Tambahan di London School Of Economic (LSE), London.

Tawaran itu sangat berharga buat diri dan keluarganya yang sememangnya tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata-kata semangat supaya terus cemerlang mencapai kejayaan seperti yang diimpikan.

Beliau yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap mata pelajaran Matematik dan Ekonomi mengharapkan kejayaan demi kejayaan ditempa ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk adiknya Khairani, 11 yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh cukup bertuah kerana pelajarannya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor dengan mengikuti Program Persediaan Pelajar (A level), ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, dia berasa bangga kerana dilahirkan sebagai anak jati Terengganu kerana pelbagai bantuan dihulurkan kerajaan negeri tanpa mengira pangkat dan keturunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja sehingga jutaan ringgit semata-mata ingin melihat pelajar di negeri ini terus menempa kejayaan sekaligus menjulang nama.

Katanya, pelbagai program dan jenis bantuan diwujudkan bagi merealisasikan impian itu selain menambah dan mengubahsuai infrastruktur bertujuan memberi semangat dan keselesaan kepada pelajar.

“Pelajar sewajarnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang cakna mengenai pendidikan dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk sokongan moral dan kewangan.

“Jika cemerlang, mereka tidak perlu risau berikutan kerajaan negeri sedia membantu sehingga ke peringkat universiti termasuk luar negara,” katanya di satu majlis baru-baru ini .