Halaman

31 July 2011

Karnival Emping Dadong suburkan tradisi Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek mendengar penerangan yang disampaikan oleh peserta gerai di Karnival Emping Dadong 2011.

Penganjuran Karnival Emping Dadong 2011 di tengah sawah padi di Kampung Dadong, Air Putih, Kemaman berjaya memahat sejarah baru apabila menarik ribuan pengunjung ke karnival yang dikatakan pertama kali diadakan di negara ini.

Karnival tiga hari dua malam di perkampungan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Bandar Cukai dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang menarik untuk semua golongan termasuk belia dalam menghidupkan kembali aktiviti tradisional yang hampir lupus ditelan zaman.


Dato' Seri Ahmad Shabery membuat sepak mula di perlawanan futsal yang diadakan sempena karnival.

Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan negeri, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan karnival itu sebagai acara tahunan.

“Karnival ini bertujuan menonjolkan simbol keunikan masyarakat tradisi masyarakat setempat yang menjalankan aktiviti menanam dan menuai padi bagi menghasilkan emping.

“Kehidupan tradisi ini diamalkan sejak zaman dahulu dan ia menjadi simbol kehidupan seperti gotong-royong yang sukar dilihat di kalangan masyarakat kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Kebangsaan 2011 sempena karnival itu, kelmarin.


Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan daripada pelajar perubatan Moscow.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Encik Mohd Hisham Zubir.

Katanya, program menarik itu boleh menjadi satu lagi tarikan pelancongan dan dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri dalam usaha memperkenalkan tradisi warisan masyarakat Melayu di negeri ini kepada pelawat.


Pusat Penerangan Pelancongan Bergerak juga turut terlibat dalam mempromosi destinasi pelancongan kepada pengunjung karnival.

Hampir 100 peserta terdiri daripada semua lapisan masyarakat membabitkan 19 kumpulan penumbuk emping secara beramai-ramai. Malah, turut diadakan acara berbasikal dari Pasir Gajah ke dadong, pertandingan nasyid, pertandingan kayak, berakit, perlawanan futsal serta bola sepak.

Lain-lain pengisian termasuk program tadarus al-Quran serta program Rakan Muda Ramadan di Masjid Kampung Dadong.