Halaman

30 July 2011

Kepentingan rakyat syarat utama jayakan pembangunan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memastikan syarat utama yang diperhalusi sebelum mengambil tindakan untuk menjayakan sebarang perancangan dan pelaksanaan pembangunan Terengganu adalah mengutamakan kepentingan serta memberi keuntungan secara total kepada rakyat negeri ini.

Ini bermakna segala projek atau program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dapat dinikmati, dipermudahkan dan memberi faedah secara terus kepada rakyat.
“Kegagalan sesuatu program yang dilaksanakan kerajaan akan mencerminkan kepincangan sesebuah kerajaan. Perkara seperti ini amatlah dititikberatkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bagi mencapai kepuasan hati rakyat khususnya,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, ketika berucap sempena perasmian program Taklimat Pembangunan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dato’ Wan Ahamad berkata, pembangunan Terengganu sejak 2004 hingga kini berteraskan kepada output yang dinyatakan itu.

Oleh itu, semua pihak hendaklah bersama-sama menggembeleng tenaga dan berusaha untuk meneruskan agenda `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan' terutamanya dalam menyediakan kemudahan yang selesa kepada rakyat.

Katanya, pendekatan pembangunan baru seperti pembangunan bersepadu wilayah juga perlu diberi perhatian memandangkan peruntukan yang besar disediakan menerusi inisiatif ini yang dan ianya juga bertujuan untuk kepentingan rakyat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua haruslah bersama-sama memikirkan persoalan mengenai apakah peranan dan fungsi kita dalam organisasi dan negeri ini yang dapat membantu mencapai status Negeri Maju Tahun 2020 kelak?”.

“Kita wajar melihat sejauh mana usaha yang mampu NGO lakukan bersama-sama agensi kerajaan bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.