Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri meminta wartawan di negeri ini menyalurkan informasi yang tepat dan benar bagi menambah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri serta negara amnya.
“Saya mengharapkan semua rakan media, wartawan memainkan peranan menyalurkan setiap perkara dan apa sahaja yang betul-betul benar mengenai isu semasa dan kepimpinan negeri kepada masyarakat.
“Sebagai pemimpin, pastinya khidmat media massa diperlukan apatah lagi dalam suasana negara yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti,” katanya ketika berucap di Majlis Mesra Media Bersama YB Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri di Kelab Eksklusif, Taman Awam Batu Buruk, malam tadi.
Turut hadir, Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat, ketua biro media dan 50 wartawan serta jurugambar dari pelbagai agensi seluruh Terengganu.
Ketika mengulas mengenai tarikh PRU ke-13, Dato’ Mohd Nasir berkata pilihan raya berkenaan kemungkinan tidak dilaksanakan dalam terdekat serta tahun ini berikutan kerajaan masih memerlukan masa bagi menambah keyakinan rakyat terhadap setiap aspek kepimpinan serta pembangunan yang sudah dan bakal dijalankan kerajaan negeri serta Pusat.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Mohd Nasir sering menjadi pemimpin yang pertama meneruskan tradisi mengadakan majlis bersama media sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sejak beberapa tahun lalu lagi.
Walaupun berdepan dengan jadual yang padat dan bakal mengerjakan umrah sepanjang dua minggu pertama Ramadan , beliau masih sempat meluangkan masa meraikan petugas media dan sejam sebelum itu Dato’ Mohd Nasir terlebih dahulu terpaksa memenuhi jemputan di majlis lain bersama masyarakat.