Halaman

26 July 2011

60,000 pengunjung di jangka hadir pada program HPPN

Oleh: Suriati Ali

Penganjuran program Hari Peladang, Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan (HPPN) di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu nyata mengembirakan peserta berikutan mendapat sambutan ribuan pengunjung.

Peserta program terutama peniaga buah-buahan, tanaman dan haiwan peliharaan mengalu-alukan kerajaan negeri meneruskan program seumpama itu berikutan mampu memberi rezeki berganda mereka berbanding ketika berurusniaga pada hari biasa.

Peniaga, Zaiton Tengah yang juga pemilik Harapan Maju Nursery Enterprise, berkata, dia cukup bertuah kerana terpilih mengikuti program ini yang nyata banyak memberi manfaat kepada peserta.
“Kami boleh mempelajari pelbagai perkara baru terutama berkaitan kaedah pemasaran yang betul, teknologi terkini dan mengetahui hasil kajian daripada pihak berkaitan,” katanya.

“Orang ramai terutama belia sewajarnya merebut peluang keemasan ini dengan melawat ruang-ruang pameran dan mengunjungi gerai jualan,” katanya.

Katanya, rata-rata peniaga yang menyertai program ini menawarkan harga sangat berpatutan berbanding di kawasan lain.

“Permintaan terhadap anak pokok bunga yang dijual syarikatnya sangat menggalakkan sehingga terpaksa menambah ratusan tumbuhan hiasan itu pada setiap hari,” kata ketika ditemui di program itu, petang semalam (25 Julai).

Seramai 60,000 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka hadir sempena program yang diadakan selama lima hari dan berakhir 28 Julai itu.

Manakala, kira-kira 150 peserta mengambil bahagian dengan membuka ruang pameran, gerai jualan buah-buahan tempatan, gerai hasil ternakan dan gerai hasil tangkapan.

Pelbagai aktiviti sampingan dianjurkan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan memancing, kucing cantik, kraftani, menjala buah-buahan, kukur dan kupas kelapa, memasak berasaskan hasil pertanian, menangkap belut; pertunjukkan jamu; makan durian percuma dan seminar kepenggunaan.

Tinjauan pemberita Teganukita mendapati ratusan pengunjung terpaksa berhimpit bagi mendapatkan pelbagai jenis produk jualan seperti buah-buahan, haiwan peliharaan, kerepek, pokok bunga dan pakaian.