Program mesej dari penjara merupakan medan untuk mengupas pentingnya penglibatan masyarakat dalam membantu golongan tersasar ini untuk kembali ke landasan yang betul apabila dibebaskan kelak.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pemulihan banduan merupakan satu ‘core-business’ bagi Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan ia bukan perkara mudah.
“Pelbagai halangan dan cabaran terpaksa dihadapi, justeru ia bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama,” katanya di majlis perasmian Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur di Kompleks Penjara Marang semalam.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Encik Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan,; Ketua Seksyen Pemulihan Rawatan Penjara Malaysia, Haji Darussalam Budin dan Pengarah Penjara Marang, Encik Hamzani Che Berahim.
Katanya, program bertemakan ‘Memasyarakatkan Penjara’ amat bertepatan dengan usaha JPM untuk mengurangkan kadar jenayah dalam negara.
Selain itu katanya, kerajaan bersedia memberi segala sokongan dan kerjasama yang diperlukan oleh JPM untuk menjayakan program pemulihan penghuninya yang berada di dalam dan juga di luar penjara.
“Sokongan semua pihak amatlah dituntut, membantu banduan dari segi fizikal dan mental untuk menghadapai cabaran apabila kembali ke dunia luar serta menjadi warga negara yang produktif,” katanya.
Katanya, sokongan masyarakat akan memberi kekuatan kepada mereka yang telah dibebaskan tidak rasa tersisih dan dipinggirkan serta membina keyakinan untuk memberi khidmat sama ada melalui Badan Bukan Kerajaan (Ngo) dan sebagainya.
“Saya bangga ramai bekas penghuni penjara berjaya membina kerjaya masing-masing selepas keluar dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawan di samping menawarkan khidmat bakti kepada Jabatan Penjara bagi membantu rakan yang berada dalam pemulihan,” katanya.
Dato’ Haji Mazlan turut melahirkan rasa yakin, banduan yang telah menjalani proses pemulihan dapat bangkit dan membina kehidupan yang lebih bermakna untuk masyarakat dan negara.