Halaman

28 July 2011

NGO dapat bantuan RM250,000

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan pentadbiran permulaan berjumlah RM250,000 kepada Pertubuhan Badan Kerajaan (NGO) melalui Majlis Panel Perundingan (MPP) NGO untuk bantuan pentadbiran.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemberian itu dapat menyemarakkan lagi kegiatan dan aktiviti NGO di negeri ini ke arah membangunkan masyarakat seluruhnya.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus menyokong sebarang usaha ke arah meningkatkan kemahiran dan perhubungan kesukarelaan dengan menghantar mereka mengikuti kursus dan latihan kemahiran,” katanya di majlis penutup Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu kepada Pemimpin NGO di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Teks ucapan Menteri Besar dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa , Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Haji Mohd Zulkifli Muda; Yang Dipertua Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri (TCS), Dato’ Haji Salleh Ismail dan Timbalan Pengerusi MPP, Haji Razali Idris.

Menteri Besar berkata, Majlis Perunding NGO merupakan badan induk kepada NGO yang ada di seluruh negeri dan kerajaan bersedia membantu dalam bentuk nasihat, tunjuk ajar dan juga kewangan.

Sehubungan itu , apa juga aktiviti perlu seimbang dengan mengambil kira penyertaan pelbagai kaum kerana melalui kekuatan perpaduan kalangan rakyat menjadi teras utama dalam mempertahankan negara yang kita cintai ini.

“Melalui aktiviti NGO juga dapat membantu kerajaan menjayakan program pembangunan modal insan dan sekali gus memudahkan proses penyaluran maklumat hingga ke akar umbi,” katanya.

Menteri Besar kemudianya melahirkan rasa yakin dengan kekuatan semangat dan minat mendalam ahli NGO akan menjadi penentu kesinambungan dan survival negara.