Menteri Besar disambut meriah ketika hadir di Program Temu Mesra Bersama Masyarakat Tionghua Parlimen Marang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai, Marang. - Foto: Zulkipli CW Putra.
Kerajaan negeri melaksanakan pembangunan di seluruh Terengganu dengan menggunakan pendekatan yang berorientasikan kepentingan rakyat serta tidak hanya menabur janji kosong demi meraih sokongan sebagaimana yang dilakukan pihak pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri serta Kerajaan Pusat sentiasa komited membantu rakyat dalam pelbagai aspek bagi meningkatkan taraf hidup mereka tanpa mengira ideologi politik.
Beliau berkata, antara penekanan utama kerajaan adalah dalam aspek pendidikan apabila pelajar yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi disediakan bantuan persediaan melanjutkan pelajaran RM1,000 seorang bagi pengajian peringkat ijazah, RM750 (diploma) dan RM500 untuk sijil. Selain bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.
“Kerajaan negeri juga memberi tajaan kepada rakyat Terengganu yang berkelayakan dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara di universiti-universiti terkemuka seluruh dunia.
“Oleh itu, masyarakat Terengganu harus faham,usaha ini sudah tentu akan berterusan jika Menteri Besar Terengganu adalah diwakili oleh Barisan Nasional,” katanya di Majlis Program Temu Mesra Bersama Masyarakat Tionghua Parlimen Marang, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai, Marang, malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri dan Adun Alur Limbat, YB Haji Alias Abdullah.
Di majlis itu, Menteri Besar meluluskan permohonan masyarakat setempat bagi membina jalan di Taman Perumahan Cina Wakaf Tapai dan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat, serta membina bangunan tiga tingkat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai tahun depan.
Sementara itu, Dato’ Yahya berharap dengan kehadiran Menteri Besar mampu meraih lebih banyak sokongan golongan Tionghua terhadap Barisan Nasional.
Katanya, golongan itu yang layak mengundi di Parlimen Marang berjumlah 1,834 pengundi melibatkan 801 (Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat), 61 (DUN Bukit Payong), 104 (DUN Rhu Rendang) dan 868 orang di DUN Pengkalan Berangan.
Manakala wakil masyarakat Tionghua Parlimen Marang, Encik Ng Soo Che mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang sanggup hadir ke program itu sekaligus mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat Tionghua di parlimen berkenaan.
Beliau turut mengutarakan masalah pembinaan longkang yang perlu dilaksanakan segera bagi mengelak kejadian banjir kilat di kawasan perumahan cina di Wakaf Tapai.
Pada masa yang sama, beliau juga teruja dengan pendekatan dilaksanakan Kerajaan Terengganu dalam bidang pendidikan sehingga mampu menaikkan nama negeri di persada negara apabila menghasilkan keputusan cemerlang dalam kesemua peperiksaan awam negara.
Katanya, inisiatif memperkenalkan e-book kepada pelajar juga membuktikan kerajaan negeri memandang ke depan dalam usaha meningkatkan daya pemikiran yang kreatif di kalangan rakyat negeri ini khususnya golongan muda.