Halaman

24 July 2011

Konvensyen BN Terengganu mantapkan perpaduan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Konvensyen Barisan Nasional (BN) Terengganu 2011 yang bertemakan `BN Di Hatiku- Persediaan Menghadapi PRU 13’, telah berakhir petang semalam dengan majlis penutup dirasmikan Ketua Penerangan BN Malaysia, Dato’ Ahmad Maslan.

Bermula dengan majlis perasmian yang dilakukan Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang meminta parti komponen BN supaya muhasabah diri, rata-rata perwakilan menyentuh isu perpaduan dan kesetiaan kepada pakatan BN yang bakal menjadi tonggak bagi memastikan BN terus memerintah negeri ini dan negara Malaysia.

Konvensyen itu merumuskan 13 resolusi utama berasaskan kluster dan diperincikan lagi melalui beberapa resolusi berfokus yang telah dipersetujui bersama, termasuk:

Menginsafi agar perpaduan dalam BN supaya tidak luntur dan terhakis, maka agenda memperkasa perpaduan parti komponen dari segi persepsi dan tindakan wajar diperhebatkan bagi memenangi hati nurani rakyat ke arah kesinambungan kuasa pemerintahan.

Menyedari kepimpinan yang dinamik menjadi tulang kekuatan parti, maka agenda memastikan pemimpin BN di semua peringkat sentiasa siap siaga, cakna rakyat dan mempunyai daya juang, daya saing dan daya tahan yang tinggi serta mampu memenangi hati rakyat.

Menginsafi kemantapan kepimpian menjadi pasak kepada keutuhan parti, maka agenda mempertingkat ketelusan, integriti dan keperibadian mulia dalam kalangan ahli dan pemimpin parti agar menjadi suri teladan bagi memenangi hati rakyat.

Memahami hakikat pembentukan modal insan menjadi teras pembinaan negara pada masa depan, maka agenda merealisasikan institusi bukan sahaja sebagai agen pembangunan sumber manusia, tetapi juga sebagai pemangkin perpaduan.

Menyedari keperluan dalam pasaran pekerjaan semasa yang menjurus kepada kemahiran, maka agenda melebar luas bidang dan jurusan kemahiran teknikal dan vokasional kepada kumpulan pelajar berprestasi rendah perlu dioptimumkan bagi menjana tenaga berkemahiran tinggi.

Menginsafi sektor ekonomi merupakan tonggak kesejahteraan rakyat, maka agenda memapankan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan secara bersepadu, berfokus, adil, saksama dan bijaksana agar dapat dinikmati bersama golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar dalam ucapan perasmiannya turut meminta semua pihak melupakan ‘cerita lama’ dan saling bermaaf-maafan sesama mereka dan menumpukan kepada usaha untuk memperkukuhkan kedudukan Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

Permintaan ikhas beliau perlu diterima dengan hati terbuka dan semua pihak tidak lagi menoleh ke belakang, tetapi sebaliknya bekerja bersungguh-sungguh bagi menggerakkan jentera parti.

Dato’ Ahmad Maslan pula meminta semua parti komponen ‘menjual’ produk BN yang ternyata amat baik dan berkualiti bagi memikat rakyat dan penduduk negeri ini memberi undi mereka kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, musuh BN sentiasa berusaha untuk menjatuhkan mereka dan mereka perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman musuh yang datangnya dari segenap arah.

Tidak ada petua atau ubat terbaik bagi parti komponen BN untuk menang pilihan raya, kecuali setiap orang dari pemimpin hingga orang bawahan, perlulah mengetepikan kepentingan diri dan tidak menikam sesama sendiri bagi kepuasan diri semata-mata.

Semua ahli parti komponen perlu meletakkan agenda dan perjuangan BN pada tahap paling tinggi dan sanggup berkorban apa saja bagi memastikan calon-calon BN menang pada PRU 13.

Jika mereka sanggup berbuat demikian, tidak mustahil BN bukan saja boleh menang dengan majoriti dua pertiga di Terengganu, tetapi lebih banyak kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini dapat dikembalikan semula ke pangkuan BN.