Halaman

26 July 2011

Pelaburan besar dorong Terengganu terbaik pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan besar bagi membangunkan bidang pendidikan, selain menyediakan insentif sebagai ganjaran untuk pelajar cemerlang yang menjadi faktor pendorong anak negeri ini terus bersaing untuk muncul sebagai yang terbaik.

Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi dan Program Tutorial.
“Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.

“Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya. Pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima menjadi persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih,” kata Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2011, di Riyaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah JPNT, Encik Razali Daud dan Pengurus Hal Ehwal Awam Subsidiari ExxonMobil Malaysia, Encik Farid Jaafar.

Dato’ Mazlan berkata, e-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan menterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Katanya, kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara. Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan `program 201052’.

Pada masa yang sama, Dato’ Mazlan turut memuji langkah Exxonmobil yang telah banyak menyumbang dan bekerjasama dengan JPNT dalam memajukan pendidikan di negeri ini.

“Diharap agar pihak lain juga akan turut mengikuti langkah dan pendekatan yang telah diambil oleh Exxonmobil yang memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dari kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh daerah terbukti menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

”Objektif anugerah ini diperkenalkan adalah untuk menggalakkan pelajar sentiasa berikhtiar dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum serta kepimpinan. Sekaligus untuk menyebar maklumat berkaitan dengan kejayaan dan pencapaian pelajar untuk dijadikan teladan kepada pelajar-pelajar lain untuk terus melonjakkan prestasi pendidikan,” katanya.



Beliau berharap supaya anugerah yang diterima ini menjadi satu permulaan dan pembakar semangat untuk merintis kejayaan yang lain pada masa akan datang.

Dato’ Mazlan turut mengingatkan pelajar yang terpilih dalam program itu supaya mengubah nasib keluarga serta menjadi pemimpin harapan negara pada masa depan.

Di majlis itu, seramai 264 pelajar menerima anugerah pelajar cemerlang berjumlah RM184,800 melalui program Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2011 yang melibatkan 120 murid sekolah rendah dan 144 pelajar sekolah menengah dari seluruh daerah ini.