Kerajaan negeri menyarankan semua rakyat negeri ini terutama pemilik kenderaan dan premis supaya mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-54 tanpa mengharapkan bendera percuma sumbangan kerajaan negeri semata-mata.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata inisiatif itu bagi mewujudkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotisme kepada negara tanpa mengira bangsa dan usia, sekaligus menyemarakkan semangat berkenaan di kalangan golongan muda.
“Jangan harap sumbangan Jalur Gemilang daripada Kerajaan Negeri semata-mata, malah harganya juga tidak semahal manapun dan ia adalah lambang bahawa kita sebagai bangsa merdeka.
“Kita seharusnya merasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut hari kemerdekaan negara ke-54. Semangat kemerdekaan perlu ditanam disetiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, pegawai daerah dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis itu, Kerajaan Terengganu mengagihkan 30,000 Jalur Gemilang yang bertemakan `1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ untuk diedarkan ke seluruh daerah yang perlu dikibarkan bermula dari Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 27 Julai hingga 16 September ini.
Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata satu majlis kesyukuran dan tahlil akan diadakan pada malam sambutan kemerdekaan berikutan sambutan pada tahun ini jatuh pada bulan Ramadan selain sambutan yang bakal dijalankan serentak di seluruh negara pada 16 September bersempena dengan hari penubuhan Malaysia.
“Saya mengharapkan semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini,” katanya.