Jentera parti Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai strategi tertentu termasuk kaedah pemasaran dan penjualan yang bijak bagi memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Ia juga boleh dilaksanakan dengan menggunakan konsep 5P atau produk (Product) iaitu BN, Price (harga) atau kos program yang dilaksanakan, Place (tempat) atau di mana produk itu dijual seperti di kawasan peti undi yang kalah atau di kawasan atas pagar, Promotion (promosi) yang baik mengenai BN dan People (pelaksana) iaitu pemimpin dan anggota parti di bawah BN yang melaksanakannya.
Ketua Penerangan BN Malaysia, YB Datuk Ahmad Maslan, berkata sebagai ahli BN, kita sudah mempunyai produk (BN) terbaik yang perlu dihebahkan supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan keamanan secara berterusan.
“Kita ada pesaing, pesaing kita adalah PAS, DAP, itu pesaing kita. Rakyat adalah pelanggan yang terpenting dan segalanya adalah untuk rakyat.
“Mulai sekarang, semua jentera parti perlu berkerja keras dengan menjual produk yang terbaik ini bertujuan mengelak rakyat memilih parti yang tidak ada hala tuju dan `carca merba’,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Terengganu 2011, di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, petang semalam (23 Julai).
Hadir sama, Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen memerangkap Ketua Penerangan BN, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Naib Pengerusi MCA, YB Toh Chin Yaw, Naib Pengerusi Gerakan, Encik Yap Kia Peng dan parti-parti komponen di semua bahagian.
Konvensyen yang diadakan selama dua hari dan bermula pada 22 Julai itu bertemakan `BN Di Hatiku’. Ia merupakan satu pendekatan terbaik bagi memberi keyakinan bahawan tiada pilihan lain bagi rakyat untuk menjamin masa depan mereka melainkan parti BN.
Datuk Ahmad turut memberitahu mereka perlu berjumpa setiap individu dari rumah ke rumah dengan memberitahu keistimewaan BN berbanding parti lain yang hanya pandai menabur janji dan tidak pandai melaksanakannya.
“Pada masa sama, promosi berkaitan produk juga perlu bijak dan mempunyai kaedah tertentu dan bukannya memberitahu keistimewaan BN pada sehelai kain rentang saja sehingga membuatkan ia sukar difahami,” katanya.
Katanya, dalam menetukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang mantap dan pemahaman secara menyeluruh.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur kerana dapat hidup kekal stabil, tanpa konflik besar dan aman damai dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai bangsa, agama dan kaum.
“Sebagai generasi pewaris kepimpinan, kita telah diamanahkan untuk meneruskan agenda kepimpinan terdahulu yang telah berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk membina asas kemajuan dan ketamadunan,” katanya.