Halaman

04 August 2011

PPK tumpu bidang perniagaan

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu melebarkan sayap perniagaan dengan merancang membuka pusat sehenti untuk meraih keuntungan jangka panjang pertubuhan itu.


Pengerusinya, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata, sebelum ini PPK sudah ada beberapa aset lain seperti stesen minyak Caltex, Kopitiam Agro, kedai bahan binaan dan input pertanian.

“Pusat sehenti diwujudkan berhampiran premis perniagaan sedia ada berkonsepkan taman rekreasi dilengkapi pelbagai kemudahan untuk bersantai bersama keluarga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Setiu.

Selain itu katanya, turut sediakan kawasan memancing bagi memberi peluang kaki pancing meneruskan hobi mereka yang boleh disertai seisi keluarga di samping dapat menjamu selera di kopitiam berhampiran.

“Lokasinya yang stretegik iaitu di laluan jalan utama Kota Bharu ke Kuala Terengganu diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PPK Setiu di Peladang Agro Resort semalam.

Dato’ Haji Mohd Jidin turut memberitahu sejak penubuhannya (1974) PPK pernah mencatat keuntungan perniagaan tertinggi tahun lalu sebanyak RM500,000.

“Melihat kepada perkembangan hari ini di mana pelbagai penambahbaikan dilakukan, tidak mustahil kita dapat mengulangi kejayaan yang sama seperti tahun lalu,” katanya.




Pasar Kuala Berang dibuka sepenuhnya September ini.

Oleh : FAUZI MOHD.


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said ketika meninjau kemajuan pembinaan Pasar Kuala Berang pada bulan Mei, 2011 lalu.

Pasar baru Kuala Berang yang dirancang bakal dibuka sepenuhnya awal bulan lalu, ditangguhkan sebulan lagi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali berkata, pasar yang dibina dengan kos RM12 juta itu menerima peruntukan tambahan RM500,000 daripada kerajaan negeri bagi kerja-kerja pengubahsuaian.

Walau bagaimanapun katanya, lot niaga di bahagian pasar basah yang menempatkan peniaga ikan, daging, ayam, sayur-sayuran, buah-buahan dan barang dapur serta kedai jahit di aras dua telah dibuka sejak beberapa bulan lalu.

"Kerja-kerja akhir mengambil masa kira-kira sebulan lagi bagi memastikan ruang niaga kedai pelbagai dan medan selera lebih tersusun, termasuklah tandas awam dan laluan pejalan kaki yang lebih selesa.

"Manakala, kawasan tapak pasar lama yang bersebelahan dengan pasar baru akan dijadikan lot parkir kenderaan," katanya ketika dihubungi Teganukita di sini hari ini.

Tambah Talaha, pasar berkenaan mula dibangunkan pada tahun 2006 bagi menggantikan pasar lama yang sudah uzur.

03 August 2011

Festival Aidilfitri di TTC

Oleh : FAUZI MOHD.



Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyediakan 200 lot niaga di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sempena Festival Aidilfitri sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, program tahunan itu bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan memasarkan produk mereka dalam satu kompleks yang selamat dan teratur.

Menurutnya, berkonsepkan perniagaan di bawah satu bumbung, festival itu dijangka menarik setengah juta pengunjung sepanjang bulan ini dengan pelbagai jenis keperluan Aidilfitri yang ditawarkan.

"Beroperasi antara pukul 10 pagi hingga 11 malam, pelbagai barangan ditawarkan dengan harga menarik seperti baju raya, songkok, kuih raya, tudung, eksesori wanita dan produk kosmetik.



"Pengunjung boleh mendapatkan barang keperluan dengan harga yang menarik dengan ruang niaga yang selesa dan berhawa dingin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Zaiton Mohd. Zain, 52, ketika ditemui dalam tinjauan Teganukita di TTC berkata, dia sanggup 'bercuti' mengendalikan perniagaan kosmetiknya kerana mahu merebut peluang berniaga di pusat itu.

Berdasarkan pengalaman yang lebih 10 tahun berniaga di situ sepanjang Ramadan katanya, dua minggu menjelang Aidilfitri, gerainya yang menjual lebih 30 jenis kuih raya seperti biskut dan kerepek mula dikerumuni pelanggan.

"Awal puasa, pengunjung hanya menjenguk dan banyak bertanya tentang harga. Ada di antara mereka sengaja tunggu hingga saat-saat akhir untuk tawarkan harga yang lebih murah," katanya.



Bagi peniaga baju Melayu, Mohd. Ghazali Johari, 24, buat permulaan, gerainya menyediakan 500 pasang baju Melayu pelbagai saiz dan warna dengan harga serendah RM10 sepasang.



"Walaupun murah tidak bermakna kualitinya rendah kerana kami mahu habiskan stok tahun lalu serta menjual stok terbaru dengan harga yang berpatutan," katanya.



Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Nor Azimah Mamat, 20, memberitahu, cuti semester yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan memberi peluang kepadanya untuk berjinak dalam dunia perniagaan.



"Dengan ruang niaga yang selesa, ia memberi peluang kepada saya bertemu dengan ramai pelanggan untuk menjual lebih 100 jenis keronsang dengan harga antara RM1 hingga RM15," jelasnya.



Bagi peniaga tudung, Syarifah Rohani Awang, 49, memberitahu, dia sentiasa peka dengan fesyen tudung terkini bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke gerainya.

"Walaupun tudung jenis 'Ekin' begitu popular pada ketika ini, tudung jenis 'Bawal' tetap mendapat sambutan kerana golongan yang lebih berusia lebih selesa dengan tudung seperti itu," ujarnya



Penglibatan tiga kampung hidupkan semula projek limau madu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 30 penduduk dari tiga buah kampung, masing-masing Kampung Lubok Periuk, Kampung Telaga dan Kampung Kolam bakal menyertai projek perintis bagi menghidupkan semula tanaman limau madu yang pernah mengalami kegagalan di negeri ini.



Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Encik Md Yusof Maidin berkata projek berkenaan akan dilaksanakan di kawasan seluas 11 hektar secara sistematik dan dilengkapi kemudahan asas mencukupi termasuk sistem pengairan bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

"Jabatan Pertanian mengambil langkah menghidupkan semula tanaman limau madu di Terengganu setelah mempelajari kesilapan yang lalu," katanya.

Beliau berkata, jabatannya akan memberi tumpuan kepada kawalan penyakit bagi memastikan tanaman itu sentiasa subur dan mengeluarkan hasil sebagaimana sasaran.

Sebelum ini, Terengganu pernah mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran, namun projek tersebut gagal selepas tanaman musnah diserang penyakit.

Encik Md Yusof berkata, bantuan kira-kira RM100,000 telah dikeluarkan oleh jabatannya bagi membantu peserta projek itu meliputi pembersihan kawasan, benih, baja, membina setor dan jalan.

“Kita mensasarkan tanaman limau di Kampung Lubuk Periok yang melibatkan 2,200 pokok mengeluarkan hasil pertama tahun depan, sementara Kampung Telaga (500 pokok) dan Kampung Kolam (220 pokok) akan mengeluarkan hasil dua tahun lagi,” katanya.

Selain itu, bagi tahun pertama, pihaknya menganggarkan projek itu mengeluarkan hasil sehingga 300kg sepohon manakala harga pasaran pula antara RM3 hingga RM3.50 sekilogram.




Rebut peluang, keberkatan Ramadan- Pesuruhjaya JHEAT

Oleh: Aida Abd Rahman

Umat Islam di negeri ini dinasihat lebih takut kepada hukuman Allah s.w.t di atas setiap kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan serta meningkatkan ketakwaan sepanjang Ramadan, demikian saranan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd Rozali Salleh.



Beliau berkata demikian selepas pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah Musim Ke-7, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, Haji Mohd Rozali juga meminta umat Islam merebut peluang keberkatan dan hikmat sepanjang Ramadan ini untuk mencari pengampunan daripada Allah dan mengelak daripada mengulangi kesilapan lalu.

“Kalau sebelum bulan puasa mereka `nakal-nakal’ sedikit, bulan puasa ini mereka sepatutnya insaf sebagaimana hadis ada menyebut, `Sesiapa yang tidak mendapat keampunan Allah s.wt. sepanjang Ramadan, tamat bulan Ramadan ini mereka tidak akan mendapat rahmat dan keampunan Allah,” katanya.

Katanya, pada bulan istimewa ini Allah s.w.t memberikan `durian runtuh’ supaya umatnya menghayati dan mempertingkatkan ibadat serta merebut peluang daripada ganjaran pahala yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghormati bulan Ramadan serta tidak makan pada waktu siang hari di khalayak umum kerana tindakan mereka boleh menyebabkan mereka didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duannya sekali. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebih RM2,000 serta penjara tidak melebihi setahun.

“Kalau mereka makan di khalayak ramai, JHEAT boleh mengambil tindakan. Kita mahu mencegah dan tidak mahu perbuatan mungkar itu berleluasa.

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM366,000 sempena program Ihya’ Ramadan tahun ini dan jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu berikutan pertambahan masjid dan surau seluruh negeri.

Katanya, peruntukan itu akan diagih-agihkan berdasarkan keperluan masjid dan surau di bawah penyelarasan kerajaan negeri di seluruh Terengganu bagi mengimarahkan lagi rumah ibadat itu sempena sambutan Ramadan.



Wujud pembimbing saudara kita

Oleh; Esah Abdullah


Pengerusi Perkim Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) akan mengadakan bengkel Pembimbing Saudara Kita (saudara baru) dua kali setahun dalam usaha melahirkan pembimbing dan pendakwah di kalangan saudara kita sendiri.

Pengerusi Perkim Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, siri pertama telah diadakan April lalu dan siri kedua dijangkakan pada penghujung tahun ini.

“Kita harap lebih ramai wujud tenaga pembimbing di kalangan ahli sendiri dan dapat berperanan memberi sumbangan kepada saudara kita yang berada di daerah-daerah seluruh negeri,” katanya.

Katanya, Perkim negeri tidak mampu untuk memantau dan menjaga kebajikan mereka yang tinggal di luar kawasan bandaraya sebaliknya akan ada kalangan ahli sendiri memain peranan membimbing mereka yang memerlukan.

Pada bengkel berkenaan peserta didedahkan dengan rahsia kenikmatan hidup sebagai seorang muslim dan kaedah terbaik yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan harian sebagai seorang muslim.

“Jumlah saudara kita yang besar dan tinggal di merata tempat menjadi halangan kepada pihak Perkim untuk memberi yang terbaik selain mewujudkan pembimbing pelapis di kalangan mereka sendiri,” katanya.

Katanya, setelah megikuti program berkenaan ternyata ramai saudara kita yang berkebolehan justeru mereka merupakan golongan pendidik, pegawai kerajaan, peguam dan juga peniaga.





Tatiuc terima 800 pelajar baru

Oleh: Suriati Ali

Kolej Universiti Tati (Tatiuc) menerima pendaftaran lebih 800 pelajar baru termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Arab Saudi dan Sudan bagi mengikuti kursus di peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama bagi sesi pengambilan 2011.



Rektor Tatiuc Dr. Mohd Rozailan Mamat@Ibrahim, berkata pada masa sama seramai 50 pelajar Nigeria akan mendaftar untuk mengikuti kursus kimpalan selama enam bulan dan beberapa kursus lain seperti automotif dan kejuruteraan.

Katanya, pada tahun ini juga kita akan memulakan pengambilan pertama pelajar bagi mengikuti Sarjana Mekatronik dan ianya akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

“Pihak kami juga telah mengadakan satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Belia Nigeria bagi menjalankan kursus kemahiran peringkat sijil selama enam bulan di sini dan setiap tahun seramai 200 belia negara berkenaan akan dilatih.

“Dalam usaha menuju universiti penuh, setiap tahun Tatiuc menghantar lapan pensyarahnya ke universiti dalam dan luar negara bagi menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) kerana syarat bagi mencapai taraf itu memerlukan 25 peratus pensyarahnya berkelulusan PhD,” katanya.


Gembira dapat belajar di Tatiuc

Oleh: Suriati Ali



Beberapa Pelajar baru Kolej Universiti Tati (Tatiuc) dari luar Terengganu ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana berpeluang menyambung pengajian di Tatiuc dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian mereka masing-masing dengan cemerlang.

Seorang pelajar yang ditemui Muhammad Nazren Abdul Rahim, 20, dari Melaka berkata dia gembira setelah mendapat tahu permohonannya untuk mengikuti Kursus Diploma Mekatronik di Tati-UC berjaya diterima dan berjanji akan berusaha untuk menamatkan pengajian bidang yang amat diminati selama ini.

“ Setelah mendapat surat tawaran saya terus membuat persiapan untuk datang mendaftar dan mengikuti kursus di sini dan menggunakan peluang yang ada ini dengan sebaik mungkin bagi mencapai segala impian saya selama ini,” katanya.

Pelajar dari Kuala Lumpur, Nuraisyah Nordin, 20, berkata, dia mendapat maklumat mengenai peluang belajar di Tati-UC daripada internet serta rakan-rakan yang telah belajar di situ dan terus membuat permohonan untuk mengikuti Kursus Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di situ.

“ Saya berminat dengan kaedah pembelajaran di sini yang banyak menekankan aspek kemahiran dan praktikal dalam pengajiannya dan ianya menjadi semangat serta pendorong untuk saya belajar di sini sehingga ke peringkat ijazah,” katanya.

Pelajar lain Nazim Khan Shamsuddin, 21, dari Negeri Sembilan berkata, beliau mendapat maklumat mengenai peluang pendidikan di tati-UC daripada rakan-rakan yang telah belajar di situ dan setelah berbincang dengan keluarga, mereka bersetuju saya memohon belajar di sini.

“ Saya akan mengikuti pengajian dalam bidang Sijil Elektronik Industri dan berjanji akan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang tertinggi iaitu PhD nanti,” katanya.

Nur Adilah Zahari, 21, dari Johor, berkata beliau begitu berminat untuk meneruskan pelajaran di Tati-UC kerana bentuk pengajiannya berbeza dengan university lain kerana tati-UC lebih banyak menekankan kemahiran dan praktikal dan bukannya teori.

“ Saya amat gembira kerana berpeluang belajar di sini dan berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memenuhi impian saya serta keluarga dan akan menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah satu masa nanti dan nanti,” katanya.


Maidam terbit buku panduan umat Islam

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mencetak 5,000 naskah buku pelbagai tajuk untuk diedarkan kepada orang ramai di negeri ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, sekurang-kurangnya ada tujuh jodol buku yang diterbitkan tahun ini (cetakan pertama 2011).

“ Ini termasuklah dua buku terbaru yang dilancar 24 Julai lalu oleh Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Haji Mazlan Hashim,” katanya.

Buku berkenaan bertajuk ‘Risalah Ramadan dan Azan, Iqamah, Fadilat dan Pelbagai Hukum’ ditulis tiga tokoh disegani iaitu Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi dan Abdul Manan Mohammad Al-Merbawi.

Katanya, beberapa buku lain yang turut dihasilkan oleh Dr. Zulkifli ialah ‘Wakaf dan Pemasalahannya’, Iqra’ Dalam Membentuk Manusia Hebat’ dan Luqatah (Penemuan).

“Buku yang mengupas isu-isu agama siri 1 setebal 182 mukasurat pula ditulis oleh Dr. Zulkifli Muda dan Adab Bersama Dengan Al-Quran oleh Imam Nawawi , diterjemah oleh Firdaus Khairi Abdul Kadir,” katanya.

Menurutnya, buku-buku yang dihasilkan oleh penulis hebat ini amat berguna kepada masyarakat menambah ilmu pengetahuan dalam menjalani kehidupan harian serta melaksanakan ibadah puasa yang penuh barakah ini.

Katanya, semua buku-buku terbitan Maidam diberi percuma kepada orang ramai dan mereka yang ingin memilikinya bolehlah menghantar sampul surat beralamat sendiri beserta stem RM1 kepada Pejabat Maidam, tingkat satu, Pusat Pentadbiran Islam, Kompleks Seri Iman, Jalan Sultan Muhammad, 20519 Kuala Terengganu.

Perlu diingatkan, ukuran sampul surat mestilah 15cm x 23cm (untuk buku) dan jika untuk mendapatkan majalah Maidam sampul berukuran 32cm x 23cm.





Peka isu halal dan haram di bazar Ramadan

Oleh : FAUZI MOHD.



Peniaga dan pengunjung bazar Ramadan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak hanya bercakap soal harga yang mahal atau murah, malah peka terhadap isu halal atau haram dalam pembelian dan penjualan juadah berbuka puasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, selain mengambil kira cara penyediaaan sesuatu makanan, bahan dan ramuan sesuatu juadah perlu diteliti dengan baik.

Katanya, jika berlaku kemusykilan terhadap sesuatu bahan makanan, pihak yang berkaitan perlu merujuk perkara itu kepada badan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Hal Ehwal Islam Terenggau dan Jabatan Kesihatan.

"Ada segelintir peniaga di tempat lain, mereka sendiri tidak tahu bahan makanan yang diguna itu halal atau sebaliknya kerana terlalu memikirkan untuk hasilkan juadah yang tahan lama daripada basi dan sebagainya.



"Dalam suasana mencari rezeki di bulan berkat ini, mereka tidak lupa tanggungjawab kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada program turun padang di Bazar Ramadan Gong Badak petang semalam.

Dalam program itu, lebih 300 peniaga bazar Ramadan di kawasan itu dan Wakaf Tengah menerima sumbangan apron dan kurma daripada Muhammad Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh.



Beliau berkata, program berkenaan merupakan salah satu cara pemimpin bertemu dengan rakyat dalam suasana santai dan mesra serta peluang kepadanya untuk mendengar masalah rakyat.

"Program dengan kerjasama Persatuan Peniaga Melayu Daerah Kuala Terengganu itu antara lain mahu mendengar sendiri masalah berbangkit daripada peniaga terutamanya soal keselesaan dan kemudahan di tapak bazar," katanya.