Halaman

23 August 2011

Bangunan Asrama Darul Akhyar ditambah tahun depan

Oleh; Esah Abdullah


Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu merancang untuk membesarkan bangunan Asrama Darul Akhyar di bawah kelolaannya yang terletak di Kampung Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, asrama yang menempatkan anak yatim fakir miskin dari seluruh negeri ini mula beroperasi Jun lalu mempunyai dua blok asrama lelaki dan perempuan, kantin, surau dan rumah warden.

“Maidam merancang untuk menambah bangunan blok untuk menempatkan lebih ramai pelajar anak yatim di negeri ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama anak yatim memilih pakaian raya di Pasar Raya Kamdar petang semalam.

Katanya, Maidam membelanjakan RM4.3 juta di bawah Asnaf Fisabilillah bagi menyiapkan bangunan asrama di kawasan seluas dua hektar yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah.

Menurutnya, semua kos operasi termasuk elaun 15 kakitangan asrama, perbelanjaan harian pelajar, yuran sekolah, bas, duit saku ditanggung sepenuhnya oleh pihak Maidam.

“Maidam telah membelanjakan RM30,000 sebulan untuk pelbagai keperluan harian pelajar di asrama berkenaan,” katanya.

Katanya, Maidam akan berusaha menambahbaik prasarana termasuk menyediakan perpustakaan, gelanggang sukan serta kawasan riadah bagi menjadikan asrama ini sebuah pusat pengajian dan kebajikan anak yatim yang terbaik.

“Kita juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak lain seperti badan korporat dan individu untuk menghulur sumbangan bagi membantu mereka mendapatkan pendidikan yang terbaik,” katanya.





Harga ikan di Terengganu serupa negeri lain

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Dr A. Rahman

Harga ikan di negeri ini hampir sama dengan negeri lain walaupun ia agak mahal kebelakangan ini, terutama menjelang bulan Ramadan lalu.

Sebagai contoh, ikan merah dijual di Terengganu dengan harga RM30 sekilogram, sama dengan harga di Kelantan, tetapi berbeza sedikit dengan Pahang, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang di mana harganya RM25 sekilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A. Rahman Mokhtar, berkata ikan selayang pula dijual RM8 di Terengganu manakala di Kelantan dan Pahang RM7, tetapi di Kuala Lumpur RM9 dan Pulau Pinang RM10.

“Kerajaan sedar dengan kenaikan harga ikan di pasaran tempatan, tetapi ia tidak dapat dielakkan kerana terdapat banyak sebab yang mendorong kenaikan harganya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

YB Dr A. Rahman berkata, antara punca tersebut ialah jumlah tangkapan ikan yang merosot disebabkan perubahan cuaca yang tidak menentu dan kuantiti pendaratan hasil tangkapan nelayan yang menurun.

Selian itu, ia juga disebabkan kenaikan kos bahan api dan peralatan menangkap ikan yang terpaksa ditanggung nelayan dan pengusaha laut dalam serta perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang melonjakkan permintaan untuk bekalan ikan.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan bertindak mengimport bekalan ikan dari luar bagi menampung permintaan tempatan, sekaligus membantu menurunkan harga ikan.
“Kerajaan juga sedang giat menyediakan habitat baru ikan berupa tukun tiruan bagi tujuan ikan dan marin membiak,” ujarnya.



Pemimpin pembangkang ibarat “Pok Ke”

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Dato’ Yahya Khatib Mohamad

Pemimpin pembangkang, termasuk daripada Pas diibaratkan sebagai ‘Pok Ke” (sesumpah) yang boleh berubah warna mengikut tempat ia berada, apabila mereka mengeluarkan kenyataan mahu menjadikan negara ini sebagai Negara Kebajikan.

Pengerusi Jawatan Kuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakt dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata lebih teruk lagi apabila pemimpin Pas dan rakan mereka dalam pembangkang turut ‘mengangguk’ semua kenyataan yang dikeluarkan Karpal Singh, walaupun ia bertentangan dengan kehendak dan ajaran Islam.

“Mereka (pemimpin Pas) angguk semua yang Karpal Singh kata sebab takut kepada geng (parti komponen pembangkang) mereka,” katanya ketika menjawab soalan YB Ramblan Ali (BN-Jabi) berhubung Negara Kebajikan yang diwarwarkan parti pembangkang jika mereka berjaya memerintah negara ini.

Dato’ Yahya berkata, isu Negara Berkebajikan merupakan perkara lapuk dan sudah tidak relevan kerana ia sudah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kerajaan BN amat prihatin terhadap kebajikan rakyat miskin, termasuk ibu tunggal kerana macam-macam program dilakukan bagi membela nasib mereka,” katanya.

Mengenai bilangan peenrima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang agak tinggi di Terengganu, beliau menjelaskan terdapat banyak faktor yang menyumbangkan kepada masa lah itu.

“Pertama disebabkan bilangan kematian ketua isi rumah yang tinggi menyebabkan keluarga berkenaan hilang sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada bantuan JKM,” ujarnya.

Beliau berkata, faktor lain ialah ibu tunggal yang kematian suami atau keuzuran ketua isi rumah.


DUN Tepoh agih Dana Raya RM1.74 juta















YB Haji Muhammad Ramli menyampaikan Dana Raya kepada salah seorang warga emas

Oleh: Suriati Ali


Seramai 6,253 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima Dana Raya secara berperingkat-peringkat membabitkan peruntukan RM1.74 juta.

Penduduk Felda Belara mencatatkan bilangan tertinggi menerima Dana Raya iaitu 405 penduduk diikuti Bukit Berangan (287), Kampung (Kg) Gemuroh (281), Kg Raja (249), Kg Padang Nenas (248) dan Kg Alor Jambu pula mencatatkan jumlah (237).

Agihan dana itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat membabitkan 25 lokasi dengan bayaran bermula 14 ogos lalu dan berakhir 25 Ogos ini.

Mereka yang rata-ratanya warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai petani, nelayan serta pekerja am nyata gembira menerima sumbangan itu berikutan mampu menampung perbelanjaan harian dan membeli kelengkapan Hari Raya Puasa.
















Penduduk setia menunggu giliran untuk menerima Dana Raya

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan berusaha membantu rakyat dalam apa jua sekalipun tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu mengingati jasa yang sudah dihulurkan dan bukannya menghentam kerajaan dengan pelbagai perkara yang tidak berfaedah.

“Gunakan Dana Raya yang diterima ini sebaik mungkin dengan membeli pelbagai perkara yang berfaedah untuk keluarga,” katanya ketika berucap di beberapa Majlis Agihan Dana Raya yang dihadiri sebelum ini.

















Dua penerima gembira menerima Dana Raya masing-masing

Sementara itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini sebagai bantuan dana raya kepada golongan miskin di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata ia merupakan tambahan sebanyak 10 peratus daripada tahun lepas berikutan peningkatan jumlah keluarga yang layak menerima bantuan itu.

"Pada tahun ini, seramai 160,000 keluarga layak menerima bantuan berbanding 150,000 pada tahun lepas.

“Pengagihan itu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula minggu ketiga Ramadan dengan jumlah penerima antara 3,000 dan 6,000 orang di setiap kawasan DUN,” katanya.

Dana raya diagihkan mengikut beberapa kategori iaitu warga emas menerima sumbangan sebanyak RM200, ibu tunggal (RM300) dan keluarga miskin memiliki anak melebihi empat orang layak menerima RM400.



Anak yatim berbelanja di Kamdar

Oleh; Esah Abdullah


Keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yatim selepas mendapat baju raya.

Ketibaan Syawal tahun ini begitu bermakna kepada 98 anak-anak yatim fakir miskin dari Asrama Darul Akhyar, Tanjung Kapal, Batu Rakit, Kuala Terengganu kerana diberi peluang memilih sendiri pakaian masing-masing di Pasar Raya Kamdar petang semalam.

Asrama ini di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang mula beroperasi pada Jun lalu, dengan pengambilan kumpulan pertama 98 pelajar (58 lelaki dan 40 perempuan)tingkatan satu hingga empat dari seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, pihaknya membelanjakan RM10,000 untuk membeli pakaian raya termasuk kasut, tudung (perempuan) dan songkok (lelaki)tahun ini.

Kegembiraan jelas terbayang pada wajah mereka dan rata-rata yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana diberi peluang memilih pakaian kegemaran masing-masing utuk dipakai pada hari raya minggu depan.


Eifa Mariana

Adik Eifa Mariana Awang, 13, dari Kampung Kerteh, Kemaman menyatakan rasa seronok dan teruja dapat memilih sepasang baju kurung untuk dipakai pagi raya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit ini merupakan anak kedua daripada empat beradik dan kematian ayah ketika berumur lapan tahun.

“Saya tidak sabar nak balik beraya ke kampung bersama emak dan adik beradik lain,” katanya yang mula tinggal di asrama ini sejak Jun lalu.

Adik Nor Salehah Yusof, 13, dari Kampung Bukit Berangan, Tepoh juga tidak sabar nak balik kampung dan tunjukkan baju baru kepada emaknya.


Nor Salehah

Nor Salehah merupakan anak bongsu daripada empat beradik, tidak sempat mengingati wajah ayahnya kerana dia kehilangan orang tersayang ketika berusia satu tahun.

“Saya tidak sedih kerana ada emak dan adik beradik dan paling seronok dapat ramai kawan sejak tinggal di Asrama Darul Akhyar,” katanya ceria.


Che Nasrul Hafizi

Adik Che Nasrul Hafizi, 13, dari Kampung Darat, Batu Rakit juga tidak melepaskan peluang memilih sepasang baju Melayu untuk dipakai pagi hari raya nanti.

“Raya tahun ini lebih bermakna dan seronok kerana diberi peluang memilih pakaian bersama rakan sekolah,” katanya yang baru dua bulan tinggal di asrama berkenaan.






10 badan kebajikan terima sumbangan RM100,000

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 10 badan kebajikan di negeri ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 daripada Kerajaan Negeri sempena Aidilfitri pada Majlis Berbuka Puasa 1Malaysia di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, petang semalam.

Sumbangan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu diberikan kepada penerima yang terdiri daripada pertubuhan dan rumah kebajikan orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, menerusi bantuan itu Kerajaan Negeri berharap dapat meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan dan membawa keriangan sama seperti insan lain dalam menyambut kedatangan Aidilfitri.

“Ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang mahukan kebajikan rakyat diutamakan dan mahu nasib golongan kurang berkemampuan diberikan perhatian,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pemimpin negeri dan masyarakat dari pelbagai kaum termasuk Cina dan India.

Menerima sumbangan itu, Persatuan Orang-Orang Pekak Terengganu sebanyak RM15,000; Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (RM10,000); Persatuan Orang Kurang Anggota Terengganu (RM15,000) dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Terengganu (RM15,000).

Selain itu, Persatuan Sindrom Down Terengganu menerima RM5,000; Asrama Darul Falah, Persatuan Kebajikan Islam Terengganu (Perkasa) (RM10,000) dan Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Perkaya) (RM15,000).

Turut mendapat perhatian, Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Bukit Payong, Marang dan Pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Saadah, Besut dan Majlis Pusat Kebajikan Malaysia Daerah Besut masing-masing menerima RM5,000.

Sementara itu, seramai 50 anak yatim daripada sekolah-sekolah Daerah Setiu turut menerima duit raya berjumlah RM100 setiap seorang daripada Dato’ Seri Ahmad.

Dana Khas RM1.7 billion dibayar secara berperingkat

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam (22 Jun) bahawa Kerajaan Pusat bersetuju membayar balik Dana Khas dari Royalti Petroleum Terengganu sebanyak RM1.7 billion termasuk RM770.344 juta yang digunakan Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk perlaksanaan projek itu di negeri lain dan Terengganu.

Katanya, jumlah itu sebahagian daripada RM2.1 billion yang dituntut kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan bagi wang royalti itu.

“Kerajaan negeri juga sedang berbincang untuk menyelesaikan beberapa isu bagi memuktamadkan baki RM400 juta lagi daripada jumlah sebenar RM2.1 billion seperti yang dituntut.

“Setakat ini, Kerajaan Pusat bersetuju membayar RM770.334 juta wang Dana Khas royalti Petroleum yang digunakan SPNB,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Haji Hadi Awang (PAS- Rhu Rendang).

Menurutnya, pada masa sama, Kerajaan Pusat bersetuju membayar sebanyak RM1.7 billion dan RM400 juta lagi masih peringkat pertimbangan.

“Kerajaan negeri sudah berunding dan bersetuju bayaran itu dibuat secara berperingkat-peringkat daripada jumalah RM1.7 billion itu sebanyak RM200 juta setahun.

“Kita juga menerima berita baik bahawa bayaran pertama RM200 juta sudah diterima dan dimasukkan ke dalam bank,” katanya.



22 August 2011

KRT BANDAR JERTIH DIPILIH PENGANJUR KEM SUKAN MILO

Oleh: Mohammad Ishak


DATUK Dina (empat dari kiri) mengadakan sesi taklimat kepada jawatankuasa KRT Bandar Jertih

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, Besut, mencatat sejarah apabila dipiih sebagai penganjur Kem Sukan Milo yang akan berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, 15 Oktober depan.

Pemilihan KRT Bandar Jertih oleh penaja utama syarikat pengeluaran minuman terkemuka itu disifatkan sebagai satu pengiktirafan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kerana ia sekaligus mewakili Terengganu.

Pengerusi Sports Unite, Datuk Dina Rizal, berkata pemilihan KRT berkenaan menepati kreatiria yang dikehendaki oleh penaja kerana keaktifannya menganjurkan pelbagai program komuniti selain pernah menggondol pelbagai anugerah diperingkat daerah, negeri dan kebangsaan

Katanya, pihaknya yakin KRT terbabit mampu mengendalikan beberapa acara sukan yang akan dipertandingkan yang turut membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun

“Hanya satu KRT dari setiap negeri dipilih untuk menadi penganjur program berkenaan manakala syarikat terbabit menyediakan peruntukan,” katanya ketika sesi taklimat kepada jawatankuasa KRT Bandar Jertih, di Pusat Rukun Tetangga (PRT) Jertih,hari ini.

Dina berkata, seramai 320 peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia 12 tahun akan mengambil bahagian dalam tiga acara sukan yang ditetapkan iaitu bola sepak, bola jaring dan bola keranjang.

Beliau berkata, pihaknya merancang setiap negeri akan menganjurkan sukan berkenaan bertujuan menarik minat kanak-kanak di peringkat sekolah rendah supaya meminati sukan.

Katanya, semua program yang dirancang sepanjang tahun ini membabitkan penyertaan ahli Rukun Tetangga dan komuniti setempat.

Kerajaan bertindak atas kepentingan orang Melayu

Oleh: Esah Abdullah

Demi mempertahankan hak orang Melayu untuk mengekalkan kependudukan dalam kawasan bandaraya, kerajaan bertindak mengambil balik tanah-tanah yang terdapat di Kampung Tanjung untuk dimajukan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedar bahawa tanah di kawasan terbabit merupakan tanah hak milik dan sudah terjual kepada individu lain sedikit demi sedikit.

“Kita mahu orang Melayu kekal pada tempat asal mereka dan kerana ingin pertahankan hak mereka, kita ambil tanah berkenaan tujuan untuk dimajukan,” katanya ketika sesi penggulungan wakil kerajaan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pembangkang (Pas-Ladang) bahawa kerajaan telah menganiaya dan merampas tanah orang Melayu untuk pembangunan.

“Kerajaan BN tidak pernah berlaku zalim sebaliknya sentiasa mengambil berat keperluan golongan miskin dengan menghulur pelbagai bantuan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan memerlukan peruntukan tambahan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (RM105,543,600) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Terengganu (PTG) (RM50 juta) dengan jumlah keseluruhan adalah RM155,543,600.

“Peruntukan ini membabitkan pembinaan istana baru di Bukit Chendering (RM40 juta) manakala selebihnya bagi pembiayaan 21 projek perumahan kos rendah dan rumah mampu milik,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad meluahkan rasa dukacita kerana Dato’ Tengku Hasan Tengku Omar (Pas-Ladang) ) selaku mantan Pengarah PTG buat-buat tidak faham tentang proses pengambilan tanah dan menyalahkan kerajaan dalam isu berkaitan.

Katanya, hampir kesemua wakil pembangkang tidak faham tentang keperluan bajet untuk projek khas berkenaan dan apa yang kerajaan buat untuk kepentingan golongan miskin selalu disalah tafsir.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat mengambil berat pemasalah rakyat walaupun sudah jelas mereka yang menduduki tanah kerajaan tidak layak dibayar pampasan tapi kita beri saguhati dan penempatan baru kepada yang terbabit,” katanya.




Sidang DUN Terengganu Ke-12 (Hari Pertama)



Tarik balik pinjaman pelajaran jika sertai Bersih

Oleh: Suriati Ali


Kerajaan negeri akan menarik balik pinjaman pelajaran mana-mana pelajar termasuk yang sedang menuntut di Mesir Jika terbukti mereka menyertai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab soalan Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir), berkata Yayasan Terengganu (YT) sudah diarah agar mengeluarkan memo atau surat tunjuk sebab kepada pelajar berkaitan.

“Sekiranya jawapan yang diberi tidak munasabah atau tidak memuaskan, YT tidak akan bertolak ansur dan akan menarik balik pinjaman yang diluluskan,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana jelas melanggar peraturan yang ditetapkan dalam surat penjanjian YT.

“Apa yang dikesalkan mereka tetap menyertai perhimpunan itu walaupn sudah mengetahui kesan dan akibatnya,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak dapat mengesan berapa jumlah individu yang menyertai perhimpunan Bersih berikutan tiada pihak yang dilantik untuk urusan memerhati atau membilang jumlah peserta.

“Berdasarkan kenyataan Wakil Rakyat Wakaf Mempelam dalam laporan akhbar, seramai 200 individu ditahan pihak berkuasa dalam perhimpunan yang diadakan di perkarangan Masjid Rusila,” katanya.

PTH diwujudkan kembali

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri bahawa Program Tunas Harapan (PTH) yang ditamatkan pada 2008 diwujudkan kembali bagi melahirkan lebih ramai atlit berpengalaman dan cemerlang.

Katanya, PTH diwujudkan sejak 1991, ketika program ini dijalankan, semua jurulatih PTH di Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) dibayar elaun sebanyak RM250 seorang.

“Bagaimanapun program ini terpaksa ditamatkan pada 2008 kerana ingin memberi tumpuan kepada Sukan Malaysia (Sukma) di mana ketika itu Terengganu sebagai tuan rumah.
Semua jurulatih, pengiat dan pengurus sukan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Sukma pada ketika itu,” katanya.

“Menyedari hakikat PTH mempunyai sumbanagn besar dalam pembangunan sukan, ia akan diwujudkan kembali dengan memulakan lima jenis sukan pada awal tahun ini,” kata ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh).

Menurutnya, kerajaan negeri bangga kerana sebahagian besar atit yang lahir pada hari ini sehingga mampu mengharumkan nama di serata negara adalah dari Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

“Kerajaan neegeri telah mengeluarkan peruntukan yang cukup besar untuk sekolah tersebut. termasuk membelanjakan sebanyak RM700 ribu setahun untuk biasiswa kepada pelajar serta bantuan insentif kepada pelajar berprestasi tinggi,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan Adun Tepoh yang ingin mewujudkan kembali bayaran elaun RM250 kepada jurulatih bermula tahun depan.

“Buat masa sekarang, SSBN sudah mempunyai jurulatih tempatan dan luar negara yang berpengalaman dan mereka dibayar gaji secara bulanan,” katanya.