Halaman

15 September 2011

Lebih 25,000 penduduk jangka hadir PTP TPM

Oleh: Suriati Ali

Lebih 25,000 penduduk termasuk urusetia dijangka terlibat sepanjang lawatan sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin ke Terengganu pada 20 September ini (Selasa).

Lawatan sempena Program Turun Padang (PTP) itu membabitkan empat program penting iaitu Majlis Mesra TPM bersama Pemimpin Masyarakat Setempat dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Paka, Dungun dijangka pada jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

TPM kemudiannya menyempurnakan program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, Dungun (12.10 tghari- 1.35 petang).

Manakala perasmian Pasar Baru Kedai Buloh, Kuala Terengganu ( 2.50 petang-4.50 petang) dan akhir sekali Program Khas TPM Bersama Imam, Bilal dan Guru-guru Agama Sekolah Menengah dan Rendah pada 5.00 petang hingga 6.30 petang.

Tan Sri Dato’ Muhyiddin dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang TUDM Subang, kira-kira jam 7.00 petang pada hari yang sama.

Seorang penduduk Kampung Kedai Buloh, Puan Salmah Ahmad, 35, berkata dia mengalu-alukan kedatangan TPM ke kawasan Marang yang sememangnya kini sudah banyak perubahan berlaku hasil pemberian Kerajaan Pusat dan kerajaan Terengganu

Katanya, kemudahan Pasar Kedai Buloh yang baru beroperasi Ramadan lalu dan dijangka dirasmikan Tan Sri Dato’ Muhyiddin pada selesa ini merupakan pemberian cukup berharga buat penduduk setempat dan peniaga di pasar itu.

“Pasar moden dengan rekabentuk terkini nyata memberi imej baru kepada penduduk kawasan Marang yang sebelum ini suram dengan pembangunan,” katanya.


UCSI & Ukom anjur program kesihatan

Oleh: Amirullah Othman



Program pemeriksaan kesihatan secara percuma anjuran UCSI Universiti dan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Kampung Temala Hilir, baru-baru ini menggembirakan kira-kira 500 penduduk kampung yang terlibat dengan program berkenaan.

Program yang melibatkan pelajar bidang perubatan dari UCSI Universiti itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) Temala Hilir, Marang.

Program itu yang diadakan di Balai Raya Kampung Temala Hilir, mensasarkan pesakit yang terdiri daripada warga emas, kanak-kanak di Kampung Temala Hilir dan kampung-kampung sekitarnya.

Ternyata program seumpama ini sangat mengembirakan penduduk sekitarnya kerana mereka tidak perlu bersusah payah ke klinik dan hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Seramai 30 pelajar perubatan dari UCSI terlibat dalam memberikan pemeriksaan kepada penduduk kampung tersebut.

Pengerusi JKKK Kampung Temala Hilir, Encik Yahya Muhammad berkata , kampung itu dipilih apabila pemerhatian dan kajian selama sebulan oleh UCSI Universiti menepati ia memenuhi kriteria yang dikehendaki.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak UCSI dan Ukom yang turut bekerjasama menjalankan program ini,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ia mampu merapatkan perhubungan antara penduduk setempat, pelajar IPT dan IPTA serta kerajaan Negeri Terengganu.

14 September 2011

Homestay Telok Ketapang wakili peringkat kebangsaan

Oleh: Amirullah Othman

Homestay Teluk Ketapang telah dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan sempena Anugerah Ilham Desa pada 29 September ini.



Pengerusinya, Encik Md Azmi Abd Aziz, berkata sebanyak lima buah kampung dari seluruh negara telah dipilih bagi menyertai pertandingan tersebut.

Lima buah kampung itu dari Sarawak (projek manik), Sabah (projek ikan bubu laut), Kedah (projek ladang getah), Negeri Sembilan (projek baja organik) dan Teluk Ketapang (projek homestay).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata inap desa atau ‘homestay’ di Terengganu khususnya di Teluk Ketapang menghadapi masalah untuk menarik minat pelancong luar terutama Singapura.

Menurutnya, halangan tersebut disebabkan homestaydi Pantai Barat yang lebih dikenali, di samping tempoh perjalanan yang lebih dekat berbanding di Pantai Timur.

“Halangan kita adalah homestay Pantai Barat kerana rakyat Singapura yang mahu datang ke sini mengambil masa selama 12 jam sedangkan perjalanan di Pantai Barat hanya tiga jam,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Hari Raya bersama Homestay dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pelancongan di Homestay Teluk Ketapang, semalam.

Majlis tersebut yang dihadiri 1,500 jemputan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.


Penjawat awam perlu bantu tingkat imej kerajaan

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam keghairahan umat Islam, termasuk penjawat awam meneruskan sambutan Aidilfitri yang bahangnya masih terasa, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan mereka, khususnya ketua-ketua jabatan supaya meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan masing-masing.



Beliau mengingatkan jika jentera pentadbiran awam diperkemaskan dan berkhidmat dengan cemerlang agar hasrat kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ dapat dicapai.
Walaupun dalam nada lembut, Menteri Besar menyuarakan hasratnya supaya penjawat awam bekerja dengan lebih cekap dan membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, nasihat tersebut tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Bagi penjawat awam, mereka tidak menghadapi masalah jika projek pembangunan yang dirancang lambat dilaksanakan atau tergendala. Tetapi bagi orang politik seperti saya, rakyat akan menghukum mereka dalam pilihan raya,” ujar Menteri Besar pada perhimpunan khas dengan warga Wisma Darul Iman, sempena sambutan Aidilfitri 2011, pagi ini.

Dalam ertikata mudah, rakyat akan menolak wakil rakyat apabila berlaku pilihan raya jika penjawat awam yang diberi amanah untuk melaksanakan sesuatu projek atau program yang dirancang oleh kerajaan, tidak menunaikan tugas mereka dengan sempurna.
Jika penjawat awam sengaja melengah-lengahkan program atau projek kerajaan tanpa sebab dan alasan yang munasabah, rakyat akan marah terhadap pemimpin politik, termasuk Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) serta wakil rakyat.

Rakyat tidak akan menyalahkan penjawat awam jika kelewatan tersebut kadang-kadang disebabkan kelalaian atau ketidakcekapan penjawat awam, tetapi mereka akan melepaskan kemarahan kepada wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar .

Apatah lagi pada masa sama, pihak pembangkang seperti kelazimannya akan memainkan tugas mereka ‘mencurahkan minyak ke api yang sedang marak’ di mana akibatnya terpaksa ditanggung oleh ahli politik.

“Imej kerajaan terletak di tangan penjawat awam justeru itu bekerjalah dengan penuh dedikasi dan amanah kerana ia menjadi intipati kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” ujar Menteri Besar lebih lanjut.

Justeru itu, jika ada penjawat awam yang cuba bermain dengan api kerana terpengaruh dengan pihak pembangkang, mereka perlu mengubah sikap dan persepsi mereka terhadap kerajaan semasa.

Mereka perlu menyokong dan mendokong kerajaan semasa kerana kerajaan sedia ada banyak berbudi kepada mereka, termasuk memberi bonus semasa umat Islam sedang membuat persiapan bagi menyambut 1 Syawal, walaupun dalam keadaan ekonomi negara kurang memberangsangkan.

TPM sempurna lawatan sehari di Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu pada Selasa ini (20 September)

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata Tan Sri Muhyiddin dijadual tiba di Lapangan Terbang Kertih, Kemaman pada pada pagi hari itu dan terus ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abuidin (PSMZA), Dungun.

Katanya, semasa di PSMZA Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dan berdialog dengan pemimpin masyarakat tempatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

“Pada tengah hari, Muhyiddin kemudiannya akan menghadiri majlis ramah mesra dan jamuan hari raya melibatkan 15,000 tetamu di Dataran Merdeka, Dungun.

“Manakala pada sebelah petang pula, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh dan majlis hari raya parlimen Marang,”katanya.

Sebelum mengakhiri lawatannya ke Terengganu, Muhyiddin dijadual mengadakan perjumpaan dengan imam, bilal dan guru-guru agama di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu sebelum berlepas pulang melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada sebelah malam.



Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) tawar tempat kursus

Oleh: Mohammad Ishak


ILIM Wilayah Timur sedia tempat latihan

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur, Bukit Keluang,Besut sedia menawarkan tempat kursus dan latihan kepada mereka yang berminat untuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti jabatan terbabit.

ILIM Wilayah Timur yang menjadi peneraju latihan Islam di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) mula beroperasi awal tahun ini mempunyai pelbagai kemudahan asas untuk kegunaan latihan.

Ketua Unit Pentadbiran dan Kewangan,Mohd Sabri Lokman berkata, institut itu mempunyai kemudahan termasuk bilik seminar,bilik kuliah, perpustakaan,surau,asrama dan kafetaria mula beroperasi pertengahan tahun lalu.

Katanya, institut itu selain untuk melatih professional agama termasuk imam, bilal dan pendakwah Islam ia juga boleh digunakan oleh agensi dan jabatan kerajaan lain untuk menganjurkan program di situ.

Menurutnya, ketika ini pihaknya menawarkan tempat secara percuma kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan program di situ manakala pakej makan disediakan oleh pentadbiran ILIM yang dikenakan bayaran.

Beliau berkata, selepas ini mana-mana pihak yang ingin mengadakan latihan di ILIM akan dikenakan caj mengikut pakej yang ditetapkan pihak pentadbiran.

ILIM Wilayah Timur mempunyai lokasi menarik terletak di kawasan pelancongan Bukit Keluang dan berhampiran Institut Perguruan Sultan Mizan (IPSM),Kompleks Imtiaz dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.

Penubuhan ILIM Wilayah Timur melengkapkan lagi usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai Islam bertaraf dunia dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai profesion keagamaan di negara ini.




MB hadir majlis Aidilfitri bersama PBPTNT

Oleh FAUZI MOHD

Di dalam kesibukan tugas seharian, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa hadir pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (PBPTNT), malam tadi.



Majlis bertempat di Primula Beach Hotel itu berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira 100 ahli persatuan dan isteri.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua PBPTNT, Dato’ Mohd. Salleh Ismail.

Lebih istimewa, majlis tersebut turut dihadiri tiga ahli baru persatuan iaitu bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Tesdec, Dato’ Mohd. Alim Muda dan bekas Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ Zakaria Awang.

Hari raya hari kesyukuran

Oleh; Esah Abdullah



Bahang kemeriahan sambutan hari raya terus membara dan hari ini (16 Syawal) giliran warga Wisma Darul Iman merayakannya dalam suasana ceria dan penuh kesyukuran.

Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Mazlan Ngah beserta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan ketua-ketua jabatan telah memalitkan warna warni hari raya.

Lebih 3,000 jemputan terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta kakitangan badan berkanun negeri selain warga Wisma Darul Iman bermula dari tingkat satu hingga 16 yang menempatkan Pejabat Menteri Besar.



Terdahulu satu perhimpunan penjawat awam di WDI telah diadakan di ruang legar U2 dan sambil mengajak semua bersyukur di atas nikmat keamanan anugerahNya, Menteri Besar menyarankan semua sentiasa jujur dan amanah ketika menjalankan tugas masing-masing.

“Imej kerajaan terletak di tangan penjawat awam justeru itu bekerjalah dengan penuh dedikasi dan amanah kerana ia menjadi intipati kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya di hadapan lebih 800 kakitangan WDI hari ini.

Katanya, penjawat awam amat bertuah, di samping mendapat gaji bulanan yang baik kerajaan memberi bonus setiap menjelang sambutan hari raya.

“Berbanding negara luar, untuk mendapat sesuap nasi pun susah apa lagi hendak mengadakan sambutan hari raya seperti kita di sini,” katanya.



Menteri Besar dan isteri seterusnya menyampaikan duit raya kepada 116 orang pelajar miskin sekitar bandar ini termasuk dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 dan 2, SK Paya Bunga, SKTengku Ampuan Mariam dan SK Ladang serta 16 anak yatim dari Kelab Wisma Darul Iman.




Sambutan Aidilfitri Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar meriah

Oleh : Amirullah Othman



Kira-kira 10,000 orang tetamu menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri di Kediaman Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, di kediamannya di Kampung Gelugor Kedai, kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, YB Haji Kazan Che Mat dan YB Haji Rozi Mamat, serta pegawai kanan kerajaan, dipenuhi tetamu sejak jam 10.00 pagi.

Pengerusi PERKASA, Dato’ Ibrahim Ali dan semua jawatankuasanya turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut.


Dato’ Haji Abdul Rahman mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemimpin masyarakat dalam Parlimen Marang dan penduduk setempat.

Majlis tersebut turut diserikan dengan dendangan nyanyian lagu hari raya oleh penyanyi jemputan dan tetamu yang hadir.

Tetamu dihidang dengan pelbagai sajian seperti laksa, nasi minyak, ketupat, lemang ,roti canai, tapai dan sate.


Bermula dari bawah rumpun buluh

Oleh FAUZI MOHD

Jalur sejarah kewujudannya telah bermula begitu lama. Sama ada disedari atau tidak, belikat penjual dan pembeli di kampung itu sudah ‘bernafas’ sejak lebih 100 tahun yang lalu.

Tatkala pasar kecil lain seperti Tepuh, Jeram dan Bukit Datu tinggal atap dan tiang usang, Pasar Kedai Buloh yang kadang kala dikatakan ‘hidup segan mati tak mahu’ terus bertahan hingga hari ini.

Menjengah ke pasar lama yang usianya lebih setengah abad itu, rekahan lantai simen dan sinaran matahari mencelah bumbung yang berlubang cukup menggambarkan suasana sebegitu sebenarnya menjadi kekuatan kepada identiti pasar lama berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedai Buloh, Mohd. Nor Omar, 70, sebelum pasar uzur itu menjadi tumpuan, beberapa kedai dan bangsal yang dibina dengan buluh, batang nibong dan atap nipah menjadi tempat penduduk mencari rezeki.

Katanya, di bawah rimbunan rumpun buluh yang tumbuh meliar di sekitar kampung berkenaan satu ketika dulu, teduhan itu menjadi tempat peniaga bertemu pelanggan dengan pelbagai jenis barang keperluan termasuk kuih-muih tradisional orang Terengganu.

“Bukan saja ayah dan emak pak cik yang bercerita mengenai perkara ini, malah datuk pak cik turut memberitahu mengenai perkara yang sama. Itulah asal usul Kedai Buluh yang terletak kira-kira 200 meter dari pasar baru ini.

“Ini adalah pasar turun temurun kerana kebanyakkan mereka di sini mewarisi perniagaan daripada ibu atau bapa mereka. Kalau ditanya, kebanyakkan yang berniaga di sini sejak dari kecil lagi dengan membantu orang tua mereka,” katanya ketika ditemui wartawan Teganukita semalam.

Tambah Mohd. Nor, pasar yang terletak berdekatan simpang tiga dari Bukit Payong, Kampung Tok Dir dan Kampung Bukit itu menjadi buah mulut dengan makanan tradisi orang Terengganu seperti nasi dagang, tapai ubi dan laksam dari dulu hingga sekarang.

Pernah satu ketika dulu katanya, Kedai Buloh cukup meriah dengan persembahan kebudayaan dan permainan tradisi orang tempatan seperti Rodat, Makyong, persembahan silat serta Tarian Menora.

“Waktu siang sibuk dengan aktiviti jual beli, manakala sebelah malam peniaga berehat sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik khususnya pada hujung minggu. Ada persembahan dari Siam (Thailand) berkampung di sini selama sebulan pada setiap tahun.

“Pak cik pernah menonton wayang pacak ‘hitam putih’ di hadapan pasar ini. Nak masuk bayar 30 sen, orang dewasa bayar 50 sen. Orang dulu dah panggil panggung wayang kalau macam ini walaupun hanya berpagar daun nyol (kelapa),” ceritanya sambil ketawa kecil.

Katanya, nostalgia itu berlalu begitu cepat dan Pasar Kedai Buloh yang pernah dikatakan bakal ‘mati’ sudah berganti dengan pembinaan kompleks niaga baru bernilai RM9.3 juta oleh Kerajaan negeri.

“Walaupun terpaksa menunggu begitu lama, pasar yang selesa dan moden ini menjadi simbol kebanggaan penduduk sekitar Kampung Kedai Buloh. Bagi kami, inilah tanda prihatin Kerajaan kepada rakyatnya,” ujar Mohd. Nor.