Jalur sejarah kewujudannya telah bermula begitu lama. Sama ada disedari atau tidak, belikat penjual dan pembeli di kampung itu sudah ‘bernafas’ sejak lebih 100 tahun yang lalu.
Tatkala pasar kecil lain seperti Tepuh, Jeram dan Bukit Datu tinggal atap dan tiang usang, Pasar Kedai Buloh yang kadang kala dikatakan ‘hidup segan mati tak mahu’ terus bertahan hingga hari ini.
Menjengah ke pasar lama yang usianya lebih setengah abad itu, rekahan lantai simen dan sinaran matahari mencelah bumbung yang berlubang cukup menggambarkan suasana sebegitu sebenarnya menjadi kekuatan kepada identiti pasar lama berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedai Buloh, Mohd. Nor Omar, 70, sebelum pasar uzur itu menjadi tumpuan, beberapa kedai dan bangsal yang dibina dengan buluh, batang nibong dan atap nipah menjadi tempat penduduk mencari rezeki.
Katanya, di bawah rimbunan rumpun buluh yang tumbuh meliar di sekitar kampung berkenaan satu ketika dulu, teduhan itu menjadi tempat peniaga bertemu pelanggan dengan pelbagai jenis barang keperluan termasuk kuih-muih tradisional orang Terengganu.
“Bukan saja ayah dan emak pak cik yang bercerita mengenai perkara ini, malah datuk pak cik turut memberitahu mengenai perkara yang sama. Itulah asal usul Kedai Buluh yang terletak kira-kira 200 meter dari pasar baru ini.
“Ini adalah pasar turun temurun kerana kebanyakkan mereka di sini mewarisi perniagaan daripada ibu atau bapa mereka. Kalau ditanya, kebanyakkan yang berniaga di sini sejak dari kecil lagi dengan membantu orang tua mereka,” katanya ketika ditemui wartawan Teganukita semalam.
Tambah Mohd. Nor, pasar yang terletak berdekatan simpang tiga dari Bukit Payong, Kampung Tok Dir dan Kampung Bukit itu menjadi buah mulut dengan makanan tradisi orang Terengganu seperti nasi dagang, tapai ubi dan laksam dari dulu hingga sekarang.
Pernah satu ketika dulu katanya, Kedai Buloh cukup meriah dengan persembahan kebudayaan dan permainan tradisi orang tempatan seperti Rodat, Makyong, persembahan silat serta Tarian Menora.
“Waktu siang sibuk dengan aktiviti jual beli, manakala sebelah malam peniaga berehat sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik khususnya pada hujung minggu. Ada persembahan dari Siam (Thailand) berkampung di sini selama sebulan pada setiap tahun.
“Pak cik pernah menonton wayang pacak ‘hitam putih’ di hadapan pasar ini. Nak masuk bayar 30 sen, orang dewasa bayar 50 sen. Orang dulu dah panggil panggung wayang kalau macam ini walaupun hanya berpagar daun nyol (kelapa),” ceritanya sambil ketawa kecil.
Katanya, nostalgia itu berlalu begitu cepat dan Pasar Kedai Buloh yang pernah dikatakan bakal ‘mati’ sudah berganti dengan pembinaan kompleks niaga baru bernilai RM9.3 juta oleh Kerajaan negeri.
“Walaupun terpaksa menunggu begitu lama, pasar yang selesa dan moden ini menjadi simbol kebanggaan penduduk sekitar Kampung Kedai Buloh. Bagi kami, inilah tanda prihatin Kerajaan kepada rakyatnya,” ujar Mohd. Nor.