Halaman

11 September 2011

Lebih 10,000 kunjungi rumah terbuka MB Teluk Kalong

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Tradisi rumah terbuka terus disambut dengan penuh meriah di seluruh negara bagi memberi peluang pemimpin dan rakyat bertemu dalam suasana muhibah sepanjang Syawal ini.

Sebentar tadi, kemeriahan itu terus terpancar apabila lebih 10,000 pengunjung berbilang bangsa hadir ke rumah terbuka Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kemaman.



Biarpun acara rumah terbuka untuk orang ramai bermula pada pukul 10 pagi, tetapi pengunjung telah mula tiba sejak pukul 8 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil peluang untuk bersalaman dengan Menteri Besar dan isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Semangat kekeluargaan nyata terpancar di wajah setiap pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat yang sama-sama hadir untuk meraikan dan memeriahkan sambutan itu.


Pengunjung disajikan dengan pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional seperti lemang, ketupat, rending, nasi dagang, sate dan pelbagai jenis kuih raya selain dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu Hari Raya.



Sementara itu, di perkarangan rumahnya lebih 20 khemah dipasang berserta kerusi dan meja untuk orang ramai menjamu selera sambil berbual mesra antara satu sama lain dan tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan sekitar itu.



Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan beberapa pemimpin negeri yang lain.