Halaman

11 September 2011

2,000 rai Pesta Tanglung di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Perarakan dan pertunjukan tanglung pastinya menjadi acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu setiap kali tiba perayaan kuih bulan yang disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar Cina.



Ia diraikan menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala dan masyarakat Cina akan menyambutnya dengan berkumpul bersama ahli keluarga.

Bagi kaum wanita, pada malam itu mereka akan sibuk membuat kuih bulan manakala kaum lelaki pula bersama-sama menghasilkan tanglung

Amalan memberi kuih bulan kepada rakan-rakan dan saudara-mara adalah bertujuan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan kerana kuih bulan dianggap sebagai lambang penghormatan di dalam masyarakat tersebut.

Sesuai dengan semangat perpaduan dan menjana keharmonian kaum, malam tadi masyarakat Cina di daerah Kemaman telah merayakan Pesta Tanglung 2011 anjuran Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman.



Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Dewan Seri Amar Diraja, Chukai yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Apa yang menarik, kanak-kanak dan orang dewasa termasuk beberapa pelancong asing sama-sama berarak di sekitar Bandar Cukai, Kemaman dengan membawa tanglung.

Dalam masa sama, pelbagai acara menarik juga diadakan antaranya perarakan kereta berhias, pertunjukan fesyen kanak-kanak, tarian singa dan pertunjukkan pakaian dan tarian masyarakat Cina.



Menurut Dato’ Seri Ahmad, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini.

“Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin tahu berkatan perayaan ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni.

“Kita berharap pada tahun-tahun akan datang acara ini akan diadakan secara besar-besaran seperti ini agar dapat mengeratkan perpaduan antara kaum,” katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamaed Awang Tera yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Tiong Hua Daerah Kemaman, Dato’ Jimmy Tan Yunn Siong.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan ‘Ang Pau’ kepada lebih 30 warga emas kaum Tiong Hua.