Halaman

12 September 2011

Lucut kerakyatan Mat Sabu - Fairus

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan taraf kerakyatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan seluruh rakyat negara ini termasuk bekas pejuang kemerdekaan negara.

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kenyataan Mat Sabu yang menganggap anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Bukit Kepong bukan hero sebenar sebagai mencari pulisiti murahan.

Menurutnya, beliau amat terkejut dengan kenyataan itu dan merasakan pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas sebagai sangat memalukan serta satu penghinaan kepada sebuah parti yang melaung-laungkan memperjuangkan Islam.

“Kenyataan bodoh dan biadap Mat Sabu dilihat telah lari daripada prinsip perjuangan asal Pas dan paling menyedihkan semua pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Nik Aziz dan Haji Hadi terus berdiam diri.

“Mereka ini seolah-olah mengiakan dan bersetuju dengan kata-kata Mat Sabu dan mereka ini semua seolah-olah buta tentang sejarah kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mat Sabu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Teluk Kalong, Kemaman, Sabtu lalu.

Fairus yang kini dilantik Penasihat Politik kepada Menteri Besar Terengganu berkata, rakyat negara ini tidak dapat menerima kenyataan yang mengatakan komunis sebagai pejuang negara dan menuduh pejuang kemerdekaan sebagai pengkhianat negara.

“Kita perlu mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan termasuk melucutkan taraf kerakyatan Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, rakyat kecewa dengan kenyataan Mat Sabu yang mengatakan pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut sebagai tali barut British sebaliknya mereka menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan negara serta menuntut kemerdekaan.

“Kenyataan tersebut sememangnya melampaui batas dan dianggap biadap kepada kerajaan dan seluruh rakyat negara ini dan pihak polis seharusnya menyiasat Mat Sabu serta pemimpin-pemimpin tertinggi PKR lain kerana tidak menegur kenyataan menyeleweng Mat Sabu itu,” katanya.