Halaman

12 September 2011

Golongan tidak bernasib baik terima ‘duit raya’, hamper

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Walaupun 1 Syawal sudah dua minggu berlalu, sambutan Aidilfitri masih diteruskan, khususnya bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.

Sempena sambutan Aidilfitri anjuran Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint) yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini, 83 orang kanak-kanak miskin dan warga emas amat bertuah kerana mereka bukan saja diraikan dengan pelbagai juadah, tetapi juga diberi habuan ‘duit raya’ dan hamper makanan.

Lebih menggembirakan golongan tersebut, apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, telah sudi menyampaikan sumbangan tersebut yang bertujuan menggembirakan mereka sempena sambutan Aidilfitri kali ini.



Menteri Besar menyampaikan ‘duit raya’ kepada murid-murid dari empat buah sekolah sekitar Kampung Losong dan ‘duit raya’ serta hamper makanan kepada warga emas sekitar kampung itu.

Hadir sama Pengurus Besar Permint, Dato’ Haji Osman Muda dan pegawai kanan perbadanan tersebut.

Sementara itu, ketua-ketua jabatan dan orang ramai turut memeriahkan sambutan Aidilfitri Permint di tempat yang sama yang bermula dari jam 10 pagi hingga 2 petang.