Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Shahrul Mat Amin memahat nama sebagai juara di Brunei Darulssalam, semalam.
Dalam kejohanan Lumba Basikal Jelajah Brunei 2011 itu, Mohd Shahrul mengungguli saingan peringkat keempat kejohanan tersebut dari Tutong Town ke Bandar Seri Begawan sejauh 104.70 kilometer (km).
Pelumba berusia 22 tahun itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 25 minit 34 saat meninggalkan Lloyd Lucien Reynante daripada pasukan 7 Eleven-RTS Racing dan rakan sepasukannya, Mohd. Harrif Salleh di tempat ketiga.
Ini adalah kemenangan ketiga pasukan TSG pada Jelajah Brunei 2011 selepas dua lagi pelumbanya, Anuar Manan dan Mohd. Harrif masing-masing turut memenangi peringkat kedua dan ketiga.
Anuar bagaimanapun menamatkan perlumbaan semalam di tempat kelima.
Selain menjuarai peringkat keempat, Mohd. Shahrul turut berjaya memenangi zon pecutan pertama dan menduduki tempat kedua di zon pecutan kedua selain menduduki tempat kedua dalam dua zon pendakian.
Apa pun, kejayaan Shahrul ini masih belum mampu menggugat kedudukan pelumba pasukan kebangsaan, Muhd. Adiq Hussainie Othman yang terus kekal menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 11’29:25s.
Adiq Hussainie, 20, yang memenangi peringkat pertama jelajah ini Rabu lalu, bagaimanapun bakal berdepan cabaran hebat dalam perebutan gelaran keseluruhan tersebut pada saingan terakhir hari ini apabila pelumba Tabriz Petrochemical Cycling, Jahanbanian Kamnabi Hossein hanya ketinggalan enam saat di belakangnya.
Saingan terakhir hari ini akan berlangsung di Bandar Seri Begawan sejauh 146.50km melibatkan lima pusingan.