Halaman

14 September 2011

Penyerahan kapal RV Discovery ditunda lagi

Oleh; Esah Abdullah

Penyerahan kapal penyelidik milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), RV Discovery yang dijadual esok terpaksa ditunda pada 30 Sept depan berikutan masih ada beberapa kerja teknikal yang perlu disiapkan.

Naib Canselor UMT Dato'Prof Dr. Aziz Deraman berkata, kapal tersebut telah melalui pelbagai ujian daripada segi ketahanan berlayar dan hanya menunggu penyerahan kapal tersebut daripada kontraktor yang membina kapal itu.

Katanya, terdapat beberapa perkara di bawah seliaan kontraktor perlu dilakukan menyebabkan kapal ini masih tidak dapat diserahkan kepada pihak UMT.

Menurutnya, kapal RV Discovery yang dibina oleh UMT ini merupakan kapal penyelidikan dan latihan sendiri yang pertama di Malaysia yang mampu memberi kemudahan kepada UMT mengkaji dan menjelajah ke seluruh perairan tanpa sempadan.

“Kapal seberat 300 tan itu dibina dengan kos RM15 juta bermula September 2008, mampu menampung penginapan sehingga 23 anak kapal pada satu-satu masa,” katanya.

Selain itu katanya,ia juga dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim.

"Salah satu keistimewaan kapal ini ialah dilengkapi peralatan untuk belayar dalam keadaan yang baik selama 15 hari tanpa henti selain daripada kelajuannya antara 12.6 knot dan 13.6 knot," katanya.





No comments: