Halaman

16 September 2011

Pelajar Inspi ke Indonesia, Jordan, Mesir dan Maghribi

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menghantar 10 pelajar lepasan Institut Pengajian Islam Kemaman (Inspi) untuk menyambung pelajaran ke Universiti Sultan Syarif Kassim (Unisuska) di Riau, Indonesia dalam bidang dakwah akhir September ini.

Pengarahnya, Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, ia adalah sebagai salah satu langkah kerajaan negeri dan yayasan itu untuk menambah bilangan pendakwah sesuai dengan perkembangan Islam di Terengganu.

"Pelajar-pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu akan mengikuti kursus berkenaan selama empat tahun di universiti tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pada masa yang sama juga YIT akan memilih lepasan pelajar-pelajar Inspi untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di Jordan, Mesir dan Maghribi Oktober ini.

Inspi yang dibangunkan YIT merupakan institusi pengajian Islam yang berkonsepkan ‘pondok moden’.

Kata Md. Kamaru, Inspi mempunyai kira-kira 500 pelajar dan jumlah itu akan ditingkatkan sehingga 700 orang apabila beberapa blok tambahan bangunan itu siap tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YIT memohon bajet RM15 juta daripada kerajaan negeri untuk membesarkan Pondok Darul Iman (PDI), sebuah lagi pusat pengajian Islam di Kampung Kerandang, Hulu Terengganu.

Katanya, pembesaran pondok itu akan dilakukan secara beperingkat dengan setiap peringkat memerlukan perbelanjaan RM5 juta dengan melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 ekar.