Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi menahan atau memberkas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara sendirian mulai tahun ini.
Ketua Pengarah RELA yang baru, Datuk Mustafa Ibrahim berkata Operasi Tegas yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu ituterpaksa dihentikan kerana ia menimbulkan banyak kontroversi dan tuduhan negatif oleh pelbagai pihak yang boleh menjejaskan imej Rela.
Katanya, RELA tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi mengatasi masalah PATI kecuali jika ia diminta melaksanakannya bersama-sama pihak berkuasa seperti polis atau imigresen.
“ Sehubungan dengan itu saya minta setiap anggota Rela membatalkan semua operasi membenteras PATI dan segera memulangkan alatan yang digunakan dalam operasi seperti gari kepada pejabat dengan serta merta”, katanya.
Menurutnya, dengan itu mulai sekarang setiap anggota Rela hanya dibenarkan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan PATI ditempat mereka kepada pihak yang berkuasa dan tidak lagi terbabit dalam operasi memberkas atau menahan.
Mustafa berkata, Rela kini dalam proses meningkatkan imej dikalangan 2.7 juta anggotanya yang terdapat diseluruh negara.
Katanya, untuk itu juga pihaknya sedang menjalankan operasi pemutihan dikalangan anggotanya diseluruh negara dengan membersihkan nama-nama anggotanya yang telah meninggal dunia, berusia melebihi 80 tahun dan tidak aktif lagi untuk digantikan dengan kemasukkan anggota-anggota baru.
Sehubungan dengan itu juga, jelasnya, pihaknya merancang untuk memperkenalkan konsep 1 Rumah 1 Rela dalam memastikan pertambahan anggota dikalangan penduduk di negara ini.
Untuk itu,katanya, Rela mempelawa setiap bangsa menyertainya disamping dari kalangan para professional bagi mengimbangi keanggotaan Rela yang kini dimonopoli oleh penduduk kampung yang terdiri daripada petani.
Beliau juga menyeru pegawai-pegawai Rela supaya turun padang untuk bertemu rakyat dan mengelakkan diri daripada menjalankan pentadbiran dari pejabat semata-mata.