Oleh FAUZI MOHD
Penghinaan itu bukan penghinaan biasa dan sedih anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam Tragedi Bukit Kepong, Azlas Jaafar, 62, bukan sedih biasa.
Bagi Azlas, dia mengaku tidak pandai untuk bermain kata dan tiada tutur ‘tajam’ yang mampu dia ungkapkan bagi menyentap keceluparan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap bapanya.
“Anak mana yang tidak terguris apabila ayahnya dihina sebegitu rupa. Kakak tidak sedih jika orang tidak mahu panggil ayah kakak sebagai hero. Tapi, kakak cukup terluka, jika ada orang tergamak berkata komunis adalah hero.
“Sejak kecil, kakak diberitahu oleh arwah ibu, ayah mati ditembak komunis dan dia adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada kekejaman komunis,” kata anak tunggal itu.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering selepas dikunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud baru-baru ini.
Turut hadir menjenguk Azlas yang tinggal bersama ibu saudaranya, Minah Mohamad, 85, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Dato’ Hamzah Md. Jamil.
Mat Sabu sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar.
Dalam ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa, Mat Indra (Muhammad Indera), lelaki Melayu yang bersekongkol dengan hampir 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan itu.
Menurut Azlas, walaupun bapanya terkorban akibat ditembak komunis dalam peristiwa itu semasa usianya baru setahun, apa yang menimpa bapanya itu telah diceritakan arwah ibunya, Seri Ahmad sebelum meninggal dunia pada 1993.
“Sepanjang hayatnya, ibu begitu kerap bercerita, biarpun arwah ayah hanya ditembak, tapi ada anggota polis lain yang dibunuh kejam, dibakar dan anggota badan dikerat-kerat. Kakak tidak boleh terima jika komunis dianggap hero.
“Ibu yang melahirkan adik kakak selepas peristiwa itu cukup terkejut dengan kematian ayah. Tiga tahun ibu dirawat di hospital di Johor akibat tekanan perasaan selepas tragedi itu. Adik kakak meninggal dunia semasa bayi lagi,” ceritanya.
Menurutnya, setelah beberapa tahun peristiwa tragis itu, ibunya yang berasal dari Muar, Johor dijemput anggota keluarga sebelah bapanya di Terengganu untuk menetap di Cendering sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, Mat Sabu dilihat terlalu taksub dengan pendapat diri sendiri sehingga sanggup memuliakan pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan sebenar tanpa memikirkan perasaan orang lain.
“Mat Sabu mahu tonjolkan dirinya sebagai seorang yang tahu dan pandai serba serbi. Pada dia, individu yang pernah berkhidmat dan bekerja dengan British tidak layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan negara.
“Dia perlu ingat, siapa yang meluluskan penubuhan Pas satu ketika dulu kalau tidak British. Komunis membunuh banyak nyawa kerana mempunyai agenda untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis bukan untuk bawa kemerdekaan kepada negara,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada Azlas dan keluarga selain melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa keluarga itu akibat kekejaman komunis.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mencari satu kawasan sesuai bagi didirikan kediaman baru Azlas memandangkan selama ini dia hanya menumpang rumah milik saudaranya di kampung berkenaan