Halaman

15 September 2011

Kerajaan bina pelita mega

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan akan membina replika pelita mega di persimpangan Kampung Tepoh sebagai ikon bagi kampung berkenaan yang menjadi pencetus idea pertandingan pelita raya dan kini tercatat dalam kalendar pelancongan negeri.



Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, program ini sudah menjadi acara tahunan negeri dan mendapat tarikan meluas dari pelancong dalam dan luar negara.

“Kemeriahan pertandingan ini telah dikongsi oleh sebilangan besar pengunjung dari dalam dan luar negara dan saya harap program ini bakal menjadi salah satu produk pelancongan negeri yang bakal diperkenalkan pada masa akan datang," katanya di majlis Sambutan Hari Raya dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya, di Balai Raya Kampung Baru, Tepoh, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah dan Pegawai Persatuan Agen Pelancongan Malaysia (MATTA) selaku ketua juri pertandingan Encik Wan Jaafree Wan Abd. Hamid.



Lebih 10,000 biji pelita dinyalakan sempena Pertandingan Pelita Raya 2011 kali ini membabitkan lima kampung dalam kawasan DUN Tepoh seperti Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru Tepoh, Kampung Padang Hangus, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng, melibatkan 200 peserta.

Kampung Padang Hangus muncul johan keseluruhan dalam Pertandingan Pelita Raya 2011 yang membawa pulang wang tunai RM500 beserta piala pusingan manakala Kampung Pagar Ubi memenangi Anugerah Khas Juri kategori penyertaan dan komitmen yang turut membawa pulang wang tunai RM500.



Encik Ismail Sulong muncul johan individu bagi Kampung Padang Hangus, Encik Mat Kassim Mat Isa (kedua) dan Encik Rostam Naman (ketiga) manakala Encik Ismail Abdullah tempat pertama bagi Kampung Pagar Ubi, Tuan Kamariah Tuan Majid (kedua) dan Husin Bakar (ketiga).

Kategori individu, johan menerima RM1,000, naib johan RM750 dan ketiga RM500 manakala saguhati menerima RM250 manaka setiap penyertaan menerima hamper.

Tiga peserta turut menerima Anugerah Khas Juri iaitu, Che Wan Mohd Saidi Che Wan Sulong dari Kampung Raja Tepoh, Encik Wahab Abu Bakar dari Kampung Baru Tepoh dan Encik Zawawi Omar dari Kampung Tokeng masing-masing menerima wang tunai RM500.