Dalam masyarakat Cina, tanglung bukan hanya perhiasan. Ia digunakan dalam majlis tertentu untuk mengalu-alukan tetamu, untuk menghebahkan kelahiran, kematian, atau amaran bahaya.
Warna serta tempat di mana tanglung digantung membawa makna tertentu. Contohnya, mereka yang baru menyambut kelahiran bayi atau perkahwinan akan menggantung tanglung berwarna merah di pintu rumah. Ini sebagai tanda kemeriahan dan kegembiraan kerana warna merah membawa maksud tenaga dan kecergasan.
Peniaga beras, Khar Kwang Chai, berkata Tanglung merah digunakan semasa perayaan atau keraian, seperti perayaan Tahun Baru Cina.
“Bentuk asal tanglung tidak banyak berubah dari dahulu. Kebiasaannya tanglung diperbuat daripada kertas dan rangkanya daripada buluh. Tetapi ada juga tanglung diperbuat dari sutera dan kain.
“Semasa pemerintahan Dinasti Song, tanglung-tanglung diperbuat dari kaca dan permata digunakan sewaktu menyambut pesta dan perayaan,” katanya ketika ditemui di Karnival Tanglung, Kampung Cina, Kuala Terengganu malam tadi (12 September).
Di negara China, tanglung yang mudah dan ringkas bentuknya digunakan untuk menerangi jalan masuk ke rumah, digantung di tiang sampan, di luar rumah, dan kedai. Kanak-kanak sekolah juga diajar membuat tanglung.
Semasa musim luruh, mereka mengadakan pesta tanglung sebagai tanda berakhirnya musim Tahun Baru Cina dan meraikan kedatangan cahaya dan musim bunga.
Tanglung yang berbagai-bagai bentuk dan warna digantung di merata-rata tempat.
Sudah menjadi tradisi masyarakat Cina menggantung tanglung semasa malam bulan penuh. Kadang-kadang mereka menulis puisi dan teka-teki pada tanglung-tanglung dan cuba menyelesaikannya.
Makanan paling popular untuk festival Tanglung adalah Yuanxiao. Sesetengah tempat memanggil makanan ini dengan nama Yuen Siu atau Tong Yuen. Dipercayai nama Yuanxiao adalah bersempena dengan nama gundik istana Maharaja Wu pada zaman Dinasti Han.
Yuanxio adalah sejenis adunan bebola yang direbus dan dikukus berisikan inti manis, daging ataupun buah-buahan. Ia diperbuat daripada tepung beras, dimasak dalam sup dan sayuran dan daging. Bentuk bulat menandakan simbol kesatuan keluarga, kesempurnaan dan kebahagian.
Pengunjung karnival, Teo Beng Hong, berkata pada malam perayaan, orang ramai akan keluar ke jalanan untuk bermain Tanglung di bawah sinaran bulan bagi menyaksikan tarian singa dan naga, membakar mercun dan bunga api, meneka tulisan yang tertulis di tanglung serta permainan-permainan lain.
Permainan meneka tulisan di tanglung amat popular sekali. Mereka akan meneka teka-teki yang tertulis di kertas tanglung. Permainan ini akan berlanjutan sehingga lewat malam perayaan Tanglung.