Halaman

13 September 2011

Tuanku Mizan berkenan berangkat ke program Khatam Quran YIT

Oleh; Esah Abdullah

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat ke program khatam al-Quran anjuran Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang akan diadakan di Stadium Negeri pada 22 Okt depan.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata jumlah murid tadika yang berjaya khatam al-Quran pada tahun ini meningkat kepada 7,900 berbanding 6,246 orang pada tahun lalu.

"Pertambahan pelajar khatam al-Quran tahun ini adalah di atas kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pembelajaran al-Quran dalam membentuk minda generasi muda," katanya.

Menurutnya, seramai 19,000 orang murid Kelas Fardu Ain (Kafa) pula akan mengikuti program khatam al-Quran tahun ini yang akan diadakan seminggu selepas itu.

Beliau berkata jumlah pelajar Kafa khatam al-Quran tahun ini meningkat berbanding 16,269 orang tahun lepas.

"Secara keseluruhannya seramai kira-kira 27,000 orang anak-anak Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini berbanding 22,515 orang tahun lepas," katanya.

Selain itu katanya, YIT akan mengambil pelajar-pelajar lepasan UPSR untuk ditempatkan di Pondok Darul Iman iaitu pondok moden pengajian Islam di Hulu Terengganu tahun ini.

Katanya YIT juga telah memperuntukkan RM5 juta untuk membesarkan lagi pondok itu tahun ini dan jumlah pelajar di pondok berkenaan akan ditingkatkan kepada 500 berbanding 200 orang pada masa ini.