Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

14 September 2011

Penjawat awam perlu bantu tingkat imej kerajaan

Analisis oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam keghairahan umat Islam, termasuk penjawat awam meneruskan sambutan Aidilfitri yang bahangnya masih terasa, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan mereka, khususnya ketua-ketua jabatan supaya meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan masing-masing.



Beliau mengingatkan jika jentera pentadbiran awam diperkemaskan dan berkhidmat dengan cemerlang agar hasrat kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan konsep ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ dapat dicapai.
Walaupun dalam nada lembut, Menteri Besar menyuarakan hasratnya supaya penjawat awam bekerja dengan lebih cekap dan membantu kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, nasihat tersebut tidak sepatutnya dipandang ringan.

“Bagi penjawat awam, mereka tidak menghadapi masalah jika projek pembangunan yang dirancang lambat dilaksanakan atau tergendala. Tetapi bagi orang politik seperti saya, rakyat akan menghukum mereka dalam pilihan raya,” ujar Menteri Besar pada perhimpunan khas dengan warga Wisma Darul Iman, sempena sambutan Aidilfitri 2011, pagi ini.

Dalam ertikata mudah, rakyat akan menolak wakil rakyat apabila berlaku pilihan raya jika penjawat awam yang diberi amanah untuk melaksanakan sesuatu projek atau program yang dirancang oleh kerajaan, tidak menunaikan tugas mereka dengan sempurna.
Jika penjawat awam sengaja melengah-lengahkan program atau projek kerajaan tanpa sebab dan alasan yang munasabah, rakyat akan marah terhadap pemimpin politik, termasuk Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) serta wakil rakyat.

Rakyat tidak akan menyalahkan penjawat awam jika kelewatan tersebut kadang-kadang disebabkan kelalaian atau ketidakcekapan penjawat awam, tetapi mereka akan melepaskan kemarahan kepada wakil rakyat, Exco dan Menteri Besar .

Apatah lagi pada masa sama, pihak pembangkang seperti kelazimannya akan memainkan tugas mereka ‘mencurahkan minyak ke api yang sedang marak’ di mana akibatnya terpaksa ditanggung oleh ahli politik.

“Imej kerajaan terletak di tangan penjawat awam justeru itu bekerjalah dengan penuh dedikasi dan amanah kerana ia menjadi intipati kepada kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” ujar Menteri Besar lebih lanjut.

Justeru itu, jika ada penjawat awam yang cuba bermain dengan api kerana terpengaruh dengan pihak pembangkang, mereka perlu mengubah sikap dan persepsi mereka terhadap kerajaan semasa.

Mereka perlu menyokong dan mendokong kerajaan semasa kerana kerajaan sedia ada banyak berbudi kepada mereka, termasuk memberi bonus semasa umat Islam sedang membuat persiapan bagi menyambut 1 Syawal, walaupun dalam keadaan ekonomi negara kurang memberangsangkan.