Halaman

15 September 2011

MB rai bakal haji Kemaman

Oleh FAUZI MOHD

Sokongan serta galakan kepada mereka yang bakal menunaikan ibadah haji sentiasa dicurahkan dan ia dapat disaksikan menerusi penganjuran majlis meraikan bakal haji di Daerah Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Majlis anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) dan Pejabat Daerah Kemaman itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang tidak ketinggalan meraikan kira-kira 200 bakal haji dari daerah itu.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, ibadah haji sememangnya menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam dan dapat memperkukuhkan lagi keimanan.

"Saya mendoakan supaya tuan-tuan dan puan-puan dapat berada dalam keadaan sihat untuk berangkat pergi dan pulang serta diberkati dengan haji mabrur," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, ADUN Kemasik, Ir. Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman.

Dalam majlis itu, bakal haji turut menerima sumbangan berbentuk peralatan untuk ibadat haji dan wang tunai 100 riyal Arab Saudi.

Dalam pada itu seorang bakal haji, Mohd. Jaafar Abu Bakar, 60, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang prihatin dengan kebajikan jemaah haji.

"Ini merupakan kali kedua saya dipilih untuk menjadi tetamu Allah.

"Saya ke sana bersama isteri dan akan mendoakan kesejahteraan negara ini supaya bebas daripada malapetaka dan bencana," katanya.

Bagi Zuniyati Mamat, 41, bersyukur dan gembira kerana berpeluang mengerjakan haji buat kali pertama.

“Lama saya tunggu giliran, sekarang baru dapat,” katanya yang akan mengerjakan haji bersama suaminya, Zamzuri Mohd. Amin, 42.


No comments: