Halaman

18 September 2011

Usah abai ibu bapa - MB



Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengingatkan masyarakat negeri ini supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa masing-masing apabila mereka berjaya memegang jawatan dan kedudukan yang baik dalam kerajaan.

Beliau berkata, tugas menjaga kedua ibu bapa bukannya tanggung jawab kerajaan, tetapi ia adalah tugas anak-anak apabila mereka sudah berjaya dalam hidup.

“Seorang ibu boleh menjaga 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu dengan baik,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat (Serikandi) Terengganu bersama Jabatan kebajikan Masyarakat dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Pengarah JKM Encik Zuhaimi Omar.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, masyarakat perlu kembali ke pangkal jalan dan jangan sekali mengabaikan tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa.

Beliau bangkitkan perkara ini kerana pernah berlaku, seorang yang berkelulusan ijazah merungut dan marah kenapa nama ibu bapa mereka dikeluarkan daripada senarai penerima bantuan JKM.

“Memang ketika anak-anak mereka masih kecil kita bantu kerana mereka keluarga miskin tetapi bila anak mereka sudah keluar universiti dan bekerja tentunya mampu menyara kedua ibu bapa, kerajaan hanya bantu keluarga yang susah,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya turut menyampaikan sumbangan cek RM1,000 kepada setiap PDK seluruh negeri serta mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak OKU.




Muhammad Ali dianugerah ijazah kehormat UniSZA

Oleh FAUZI MOHD

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan kepada bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim sempena konvokesyen universiti itu, semalam.



Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud memberitahu, penganugerahan ijazah kehormat kepada Muhammad Ali adalah kerana kegigihan beliau memacu JCorp ke tahap cemerlang selama lebih 28 tahun.

Katanya, berbekalkan kelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya (1969), beliau yang memulakan kerjaya awalnya sebagai ahli ekonomi di Bank Negara Malaysia telah berjaya sebagai pentadbir perniagaan yang disegani.

“Semasa memikul tanggungjawab sebagai Presiden Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang antara tahun 1982 hingga 2008, Pasir Gudang pesat membangun sebagai sebagai salah sebuah bandar industri terulung di Malaysia.

“Ketokohan beliau juga terserlah apabila pernah dilantik menjadi pengerusi beberapa syarikat Kumpulan JCorp termasuk Syarikat Kulim Berhad, KFC Holding Berhad, KPJ Healthcare Berhad dan QSR Brands Berhad,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor Unisza berkenan menyampaikan anugerah itu sambil disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut berangkat ke istiadat tersebut.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Muhammad Ali telah dianugerahkan enam ijazah kehormat iaitu Doktor Falsafah Pengurusan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2000, Doktor Falsafah Keusahawanan (Universiti Teknologi Mara, 2007) dan Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, 2007)

Tahun lalu, tiga institusi pengajian tinggi turut menganugerahkan ijazah kehormat kepada beliau iaitu Doktor Falsafah Keusahawanan dari Universiti Utara Malaysia, Doktor Pendidikan Keusahawanan (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Doktor Falsafah Keusahawanan dan Muamalat (Kolej Universiti Insaniah).


Tuanku Mizan rasmi Hotel Tanjong Vista

Oleh FAUZI MOHD

Yang di-Pertuan Agong ,Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu petang semalam.

Keberangkatan Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengarah Urusan, Hotel Tanjong Vista, Datuk Tan Choo Meng.

Pada majlis perasmian itu, Tuanku Mizan telah memasukkan kad replika kunci bilik ke dalam satu kotak khas sebagai gimik perasmian hotel berkenaan.

Sementara itu, Datuk Choo Meng ketika ditemui selepas majlis itu berkata, Hotel Tanjong Vista setinggi 14 tingkat dibina pada 2008 dengan peruntukan kira-kira RM23 juta.

Katanya, hotel bertaraf tiga bintang yang terletak di satu kawasan komersil di Jalan Sultan Zainal Abidin itu mempunyai 199 bilik dengan pakej harga serendah RM133 dan mula beroperasi pada 7 September tahun lepas.

Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh dibuat melalui laman web www.hoteltanjongvista.com.my atau telefon 09-6319988.

Jemaah haji diminta utamakan kesihatan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengingatkan bakal jemaah haji di Terengganu supaya memberi keutamaan kepada isu kesihatan selain melaksanakan semua perkara dengan terancang supaya tidak timbul kekalutan ketika mengerjakan ibadat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata semua jemaah terutama warga emas diminta mempersiapkan diri seawal mungkin dengan mengambil suntikan khas, melakukan pemeriksaan, mendapatkan visa haji dan menghadiri kursus haji secara bersiri.

“Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah,

“Mereka gemar memberi alasan kononnya belum sampai seruan lagi, sibuk dengan kerja seharian, tiada tempat untuk meninggalkan anak-anak dalam tempoh lama atau sebagainya,” katanya ketika berucap di Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kemarin (Jumaat).

Kataya, Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan besar di dunia ini, perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu hanya kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur.

“Selain itu, ada juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah yang balik menunaikan ibadat haji lalu. Mereka begitu terpengaruh dengan cerita berkenaan sehingga membantutkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.,” katanya

Bakal jemaah haji, Che Siti Che Muda, 75 dari Kampung Jenagor, Hulu Terengganu, berkata dia berusaha mengumpul duit hasil jualan pucuk paku, kangkung, pucuk betik dan pelbagai jenis sayuran kampung lain sejak usia belasan tahun lagi semata-mata ingin memenuhi hasrat mengerjakan haji.

“Alhamdullilah doa saya untuk menjejak kaki ke tanah suci dimakbulkan Allah S.W.T jua dan peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat,” katanya yang belum mengetahui tarikh berlepas ke Tanah Suci.



Anggota Askar Wataniah gotong royong bina surau Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih

Oleh: Mohammad Ishak


Askar Wataniah bantu bina surau Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih.

Impian warga Sekolah Kebangsaan Seberang Jertih (SKSJ) untuk mendapat sebuah surau sebagai tempat menjalankan akitviti agama dan ibadah menjadi kenyataan apabila sebuah surau dibina secara gotong royong di sekolah berkenaan

Dengan usaha yang dilakukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu bersama anggota Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Seri Tembila, mereka menjalankan kerja gotong royong bagi membina sebuah surau untuk kegunaan pelajar dan guru.

Pengerusi PIBG sekolah itu, Abd Rani Mat Amin berkata, pembinaan surau berkenaan amat diperlukan kerana sekolah terbabit belum mempunyai tempat ibadah khusus.

Surau yang ada sekarang yang menggunakan bilik darjah dan ia tidak sesuai kerana keadaan terlalu sempit dan tidak mampu menampung jumlah peserta.

Menurutnya, projek gotong royong yang disertai 100 anggota Askar Wataniah diharap dapat membantu usaha PIBG menyiapkan surat berkenaan dalam tempoh segera bagi memudahkan pelajar dan guru menggunakan kemudahan itu.

Menurutnya, semua peralatan termasuk atap,kayu,simen dan bahan binaan lain disumbangkan orang ramai serta individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

"Penduduk setempat termasuk pelbagai komuniti yang ada di kampung berkenaan memberi sokongan dan kerjasama penuh bagi menjayakan pembinaan surau itu,” katanya.

Abd Rani berkata, kerja pembinaan surat itu diangka mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan berharap ia dapat digunakan sebelum akhir tahun ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang bagi menjayakan pembinaan surau itu kerana ia satu usaha murni yang dilakukan oleh PIBG bagi mempastikan pelajar dapat meningkatkan lagi aktiviti agama di tempat yang lebih selesa.



17 September 2011

1,168 graduan UniSZA terima sarjana, sarjana muda dan diploma

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,168 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima ijazah sarjana, sarjana muda dan diploma pada Istiadat Konvokesyen UniSZA ketiga yang berlangsung di universiti itu di Gong Badak, Kuala Terengganu, bermula hari ini.



Majlis selama dua hari itu menyaksikan seramai 464 graduan menerima ijazah sarjana muda, 703 menerima diploma dan seorang graduan menerima ijazah sarjana dalam bidang Sains.

Daripada jumlah itu, 33 daripada mereka adalah graduan pertama daripada Fakulti Teknologi Makanan yang menerima ijazah sarjana muda.

Penerima ijazah sarjana muda yang lain melibatkan 32 graduan dari Fakulti Informatik , Fakulti Pengajian Islam (86), Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (78), Fakulti Pertanian dan Bioteknologi (27), Fakulti Teknologi Makanan (33) dan Fakulti Undang-Undang (32).

Bagi penerima diploma, 66 graduan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (40), Fakulti Pengurusan Perniagaaan dan Perakauan (209), Fakulti Informatik (11), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (53), Fakulti Undang-Undang (29) dan Fakulti Pengajian Islam (470).



Berangkat menyampaikan transkrip kepada para graduan ialah Canselor UniSZA, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud.

Dalam ucapan pembukaan istiadat itu, Prof. Dato’ Dr. Alias berkata, jumlah graduan UniSZA sehingga kini seramai 5,451 orang termasuk 3,280 graduan pada tahun 2009 dan 1,003 graduan pada tahun lalu.

Katanya, selain berbangga dengan kejayaan para graduan saban tahun, pencapaian UniSZA dari sudut akademik dan penyelidikan berjaya melonjakkan nama universiti itu.

“Misalnya, pensyarah UniSZA telah meraih anugerah ‘Best Paper Award’ pada persidangan antarabangsa ‘Asean Academy of Applied Business 2011’ dan meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi di Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik.

“Selain menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti antarangbangsa dari China, Timur Tengah, Jepun dan Thailand, UniSZA turut mengadakan perjanjian persefahaman dengan McGill University di Kanada bagi membina sebuah ‘teaching hospital’ dan kemudahan teleperubatan di universiti itu,” ujarnya.

Rakyat diminta terus sokong kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Nurul Adiela Saberi



Rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri agar transformasi pembangunan dapat diteruskan di masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata proses pembangunan negeri akan terjejas jika kerajaan negeri yang ada sekarang ini tidak diberi peluang untuk terus menerajui pentadbiran negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik selaras dengan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” yang menjajdi amalan pentadbiran beliau.

Justeru itu, beliau amat mengharapkan agar rakyat sentiasa bersyukur dan mengenang budi kerajaan yang telah banyak membantu menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulangtahun penubuhan Malaysia dan Hari Kemerdekaan Neara peringkat negeri Terengganu di Pantai Kijal, malam tadi.

Lebih 15,000 orang membanjiri kawasan rekreasi tersebut yang turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

Hadir sama Ahli-Ahli Majlis mesyuarat kerajaan, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat .

Menteri Besar turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak lupa dengan sejarah kemerdekaan negara dan menyanjung tinggi pemimpin yang telah banyak berjasa bagi membebaskan negara daripada
mengagung-agungkan komunis kerana kepentingan poliitik. dijajah.

Beliau juga meminta agar mereka tidak dikelirukan dengan tindakan pihak berkenaan yang mahu mengagung-agungkan perjuangan komunis untuk kepentingan politik.

16 September 2011

Pelajar Inspi ke Indonesia, Jordan, Mesir dan Maghribi

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan menghantar 10 pelajar lepasan Institut Pengajian Islam Kemaman (Inspi) untuk menyambung pelajaran ke Universiti Sultan Syarif Kassim (Unisuska) di Riau, Indonesia dalam bidang dakwah akhir September ini.

Pengarahnya, Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, ia adalah sebagai salah satu langkah kerajaan negeri dan yayasan itu untuk menambah bilangan pendakwah sesuai dengan perkembangan Islam di Terengganu.

"Pelajar-pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu akan mengikuti kursus berkenaan selama empat tahun di universiti tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pada masa yang sama juga YIT akan memilih lepasan pelajar-pelajar Inspi untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang di Jordan, Mesir dan Maghribi Oktober ini.

Inspi yang dibangunkan YIT merupakan institusi pengajian Islam yang berkonsepkan ‘pondok moden’.

Kata Md. Kamaru, Inspi mempunyai kira-kira 500 pelajar dan jumlah itu akan ditingkatkan sehingga 700 orang apabila beberapa blok tambahan bangunan itu siap tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YIT memohon bajet RM15 juta daripada kerajaan negeri untuk membesarkan Pondok Darul Iman (PDI), sebuah lagi pusat pengajian Islam di Kampung Kerandang, Hulu Terengganu.

Katanya, pembesaran pondok itu akan dilakukan secara beperingkat dengan setiap peringkat memerlukan perbelanjaan RM5 juta dengan melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 ekar.

1,000 ahli dan pemimpin Rukun Tetangga Daerah Besut hadir majlis Hari Raya

Oleh: Mohammad Ishak


Dr Rahman disambut oleh Pegawai JPNIN Kamaruddin Deraman (kanan)

Sambutan majlis Hari Raya anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Besut yang berlangsung di Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah itu semalam tetap meriah walaupun suasana Aidilfitri sudah berlalu dua minggu lalu.

Kira-kira 1,000 jemputan termasuk ahli dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT), guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan, kanak-kanak Tabika Perpaduan serta ibu bapa dan pemimpin setempat menghadiri malis berkenaan.

Malah kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar bersama isteri memeriahkan lagi majlis yang diadakan pada setiap tahun itu.

Sempena majlis itu, JPNIN turut menganjurkan pertandingan mewarna yang disertai 100 kanak-kanak Tabika Perpaduan seluruh daerah Besut.


Sebahagian kanak-kanak Tabika Perpaduan menyertai acara pertandingan mewarna

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, beliau bangga melihat semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh komuniti negeri ini khususnya program yang dianjurkan oleh JPNIN.

Katanya, penubuhan KRT oleh jabatan itu banyak membantu kerajaan bukan sahaja merapatkan jurang perbezaan kaum malah tanggungjawab Rukun Tetangga sekarang semakin luas dengan peranan yang bertambah termasuk mengawal keselamatan.

Beliau berkata ini terbukti apabila penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh KRT berjaya membanteras aktiviti jenayah yang dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab di negeri ini.

“Kerajaan mengharapkan JPNIN dapat menubuhkan lebih banyak pasukan SRS supaya ia dapat disertai oleh komuniti setempat secara lebih berkesan,” katanya.


Sambutan luar biasa lawatan TPM



Lawatan kerja sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Terengganu Selasa ini (20 September) bukan lawatan biasa, tetapi beliau bakal diberi sambutan luar biasa oleh rakyat tempatan, sesuai dengan kedudukannya sebagai orang nombor dua negara dan Barisan Nasional (BN).

Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, pegawai kanan penjawat awam dan pemimpin masyarakat dijangka hadir pada Program Khas Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abuidin (PSMZA), Dungun, yang dijadualkan bermula jam 10 pagi.

Pada sebelah tengah hari, Tan Sri Muhyiddin akan menghadiri majlis ramah mesra dan jamuan hari raya melibatkan 15,000 tetamu di Dataran Merdeka, Dungun.

“Manakala pada sebelah petang pula, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh dan majlis hari raya Parlimen Marang,” katanya.

Selepas itu, beliau turut dijadualkan hadir satu lagi majlis besar-besaran iaitu majlis perasmian Pasar Baru Kedai Buloh, di Kampung Kedai Buloh, melibatkan 10,000 orang.

Sebelum mengakhiri lawatan ke Terengganu, Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan imam, bilal dan guru-guru agama di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu di mana 1,000 peserta dijangka hadir.

Secara keseluruhan, hampir 30,000 orang akan hadir pada empat program yang diatur sempena kunjungan Tan Sri Muhyiddin ke Terengganu kali ini, bagi menunjukkan tanda sokongan rakyat tempatan kepada pemimpin negara.

Selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Terengganu, Timbalan Perdana Menteri akan berlepas pulang ke ibu negara melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada sebelah malam.