Kerajaan negeri mengingatkan bakal jemaah haji di Terengganu supaya memberi keutamaan kepada isu kesihatan selain melaksanakan semua perkara dengan terancang supaya tidak timbul kekalutan ketika mengerjakan ibadat.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata semua jemaah terutama warga emas diminta mempersiapkan diri seawal mungkin dengan mengambil suntikan khas, melakukan pemeriksaan, mendapatkan visa haji dan menghadiri kursus haji secara bersiri.
“Amat mendukacitakan apabila ada sebahagian umat Islam yang sengaja melambat-lambatkan pemergian mereka ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah,
“Mereka gemar memberi alasan kononnya belum sampai seruan lagi, sibuk dengan kerja seharian, tiada tempat untuk meninggalkan anak-anak dalam tempoh lama atau sebagainya,” katanya ketika berucap di Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kemarin (Jumaat).
Kataya, Walaupun semua alasan dikemukakan adalah punca yang akan mendatangkan keuntungan besar di dunia ini, perlulah diinsafi bahawa keuntungan itu hanya kecil jika dibandingkan dengan ganjaran pahala berlipat ganda diperoleh seorang Muslim melalui ibadat haji yang mabrur.
“Selain itu, ada juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan dihadapi ketika berada di Tanah Suci, terutama apabila kedengaran rungutan dan aduan daripada jemaah yang balik menunaikan ibadat haji lalu. Mereka begitu terpengaruh dengan cerita berkenaan sehingga membantutkan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.,” katanya
Bakal jemaah haji, Che Siti Che Muda, 75 dari Kampung Jenagor, Hulu Terengganu, berkata dia berusaha mengumpul duit hasil jualan pucuk paku, kangkung, pucuk betik dan pelbagai jenis sayuran kampung lain sejak usia belasan tahun lagi semata-mata ingin memenuhi hasrat mengerjakan haji.
“Alhamdullilah doa saya untuk menjejak kaki ke tanah suci dimakbulkan Allah S.W.T jua dan peluang ini saya akan gunakan sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai ibadat wajib dan sunat,” katanya yang belum mengetahui tarikh berlepas ke Tanah Suci.