Halaman

19 September 2011

Kerajaan bina pasar borong kekal

Oleh; Esah Abdullah

Mendengar rungutan rakyat serta memahami kehendak masyarakat tempatan, kerajaan mengambil keputusan untuk membina pasar borong kekal di Bukit Payong, Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari Idris berkata, kawasan seluas 20 hektar telah dikenal pasti di Kampung Batu 6, bagi tujuan pembinaan pasar berkenaan.

Katanya, kawasan itu terletak kira-kira satu kilometer dari pekan Bukit Payong dan 16 kilometer dari pusat bandar Bandaraya Kuala Terengganu.

Sehubungan itu katanya, pasar borong sedia ada di Kampung Gong Pauh dan sudah beroperasi sejak 10 tahun lalu diberi kebenaran meneruskan urusniaga seperti biasa.

“Sebelum melaksanakan projek ini, beberapa pegawai telah dihantar membuat tinjauan ke beberapa negeri lain untuk mengambil contoh pasar borong yang sesuai di negeri ini,” katanya.

YB Haji Asha’ari kemudiannya tidak menyebut kos sebenar pasar borong yang bakal dibina itu, namun ia bergantung kepada penyediaan pelan serta keperluan semasa.

Katanya, kerajaan berusaha memenuhi kehendak rakyat dan perancangan membina pasar borong kekal yang selesa ini mampu memberi pulangan ekonomi kepada golongan peniaga di negeri ini.